Tuesday 30 October 2018

Bumi Syam benteng terakhir pertahanan kaum muslimin



Daripada Abdullah bin Hawalah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Urusan (Islam) ini kelak akan menjadi beberapa pasukan tentera. Ada pasukan di Syam, ada pasukan di Yaman, ada pasukan di Iraq.”

Ibnu Hawalah berkata, “Ya Rasulullah, pilihkan salah satu tempat untukku apabila aku menemui zaman tersebut.”

Baginda bersabda, “Hendaklah engkau memilih Syam, kerana negeri itu adalah pilihan Allah, Allah memilihkan untuk negeri itu hamba-hamba pilihan-Nya. Jika engkau enggan tinggal di Syam, hendaklah engkau memilih Yaman dan berilah minum dari kolam-kolamnya. Sesungguhnya Allah telah menjamin untukku negeri Syam dan penduduknya.”

HR Abu Daud, Sunan Abi Daud, no. 2483. Dinilai sahih oleh Al-Albani.

Ghutah dan Damsyik menjadi kem umat Islam sewaktu perang terbesar



Daripada Abu Darda RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya perkhemahan (pusat kekuatan) umat Islam pada hari peperangan terbesar adalah di Ghutah, di samping kota yang bernama Damsyik, yang merupakan antara kota terbaik di Syam.”

HR Abu Daud, Sunan Abi Daud, no. 4298. Dinilai sahih oleh Al-Albani.

Munculnya pasukan tentera terbaik dari Damsyik



Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Jika telah terjadi banyak peperangan besar, Allah akan mengeluarkan sebuah pasukan dari golongan ‘Al-Mawali’, mereka adalah bangsa Arab yang paling baik kuda dan persenjataannya. Allah akan meneguhkan agama ini melalui perantaraan mereka.”

HR Abu Daud, Sunan Abi Daud, no. 3319. Dinilai hasan oleh oleh Al-Albani. Dalam beberapa riwayat lain disebut المولي من دِمَشْقَ (“Al-Mawali” dari Damsyik)

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...