Tuesday, 6 March 2012

Hukum Wanita Bersanggul Dan Baju Berwarna

Soalan : Dr MAZA, sekarang ini menjadi trend wanita menyimpan sanggul tinggi. Begitu juga ramai wanita yang memakai pakaian yang menutup aurat tetapi berwarna. Tidakkah wanita hanya patut berwarna gelap? Apakah muka itu boleh jadi aurat? Apakah hukum dalam perkara-perkara seperti ini? Ada yang kata semua itu haram, tidak penuh syarat pakaian Islam dan ada pula yang kata boleh. Apakah pandangan Dr Asri dalam hal ini?

Juliana, Petaling Jaya.

Jawapan Dr MAZA: Terima Juliana atas soalan yang dikemukakan. Syabas juga kepada saudari kerana prihatin soal pakaian wanita dalam agama kita. Wanita amat tinggi nilainya dalam Islam. Oleh kerana tingginya harga wanita dalam agama ini, maka mereka dijaga dan dipelihara oleh Islam dengan sebaiknya agar tidak tercemar atau dipandang serong. Di sini, saya nyatakan beberapa perkara berikut;


1. Peraturan pakaian wanita dalam ajaran Islam adalah bertujuan memelihara ketinggian nilai wanita dan membezakan mereka dengan wanita-wanita lain yang tidak mementingkan nilai kemuliaan. Serta mengelakkan mereka terdedah kepada gangguan orang atas andaian mereka golongan murahan. Firman Allah: (maksudnya)
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan jilbab (pakaian) mereka ke atas tubuh mereka; cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Maka, asas dalam membuat reka fesyen pakaian seorang wanita muslimah hendaklah berteraskan pakaian yang memberikan gambaran yang pemakainya seorang wanita yang baik dan tidak bertujuan menarik nafsu atau meransang lelaki dengan pendedahan, warna yang melampau, rekaan fesyen yang memberikan nilai yang negatif dan seumpamanya.
2. Sebelum kita pergi lebih jauh, wajar kita tahu bahawa dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah) ada yang agak ketat pandangan mereka mengenai aurat wanita, dan ada yang sederhana. Bahkan ada yang longgar sehingga menganggap soal jilbab dalam ayat Surah Al-Ahzab di atas hanya berkaitan wanita-wanita Arab sahaja. Ini seperti yang dinyatakan oleh al-Syeikh Muhammad Tahir Ibn ‘Asyur ketika memperkatakan ayat tersebut:
“Ini peraturan yang meraikan kebiasaan Arab. Maka kaum yang tidak memakai jilbab, maka tidak terbabit dengan hukum tersebut” ( Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, ms 228, al-Basair li Intaj al-‘Ilm).
Ada juga yang ketat sehingga menganggap wanita keseluruhannya aurat; termasuk wajah mereka. Dengan itu golongan ini mewajibkan niqab (purdah). Namun jumhur (majoriti) ulama berpendapat bahawa diri wanita memang tidak boleh didedahkan kepada kepada lelaki bukan mahramnya, tapi dikecualikan muka dan tapak tangan. Dalam Mazhab Hanafi, dilonggarkan sedikit lagi, maka pergelangan kaki diizin. Ini kerana pergelangan kaki sesuatu yang sukar untuk dielakkan terdedah, terutama wanita yang bertugas dengan tugasan tertentu dan pada zaman dahulu pula tidak kecanggihan stokin seperti sekarang.
3. Pada saya, pendapat jumhur (mijoriti ulama) yang menganggap wajah wanita dan tapak tangan bukanlah aurat yang wajib ditutup merupakan pendapat yang kuat berteraskan dalil-dalil yang kukuh. Antara hujah yang kuat dalam hal ini firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31(maksudnya):
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.
Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara: pertama; maksud “kecuali yang zahir daripadanya” ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan perbincangan ayat tersebut dalam kitabnya al-Radd al-Mufhim membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat para sahabah yang memegang pendapat ini.
Kedua; ayat di atas menyatakan “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”. Allah hanya memerintahkan agar ditutup bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Bahagian belahan leher yang mungkin mendedahkan dada dan sekitarnya itu perlu ditutup. Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah `aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga. Oleh itu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi menyebut dalam al-Muhalla: “Ayat adalah dalil bahawa diharuskan membuka wajah, tidak mungkin sama sekali difahami selain dari itu”
4. Adapun sanggul; terdapat hadis Nabi s.a.w. di mana seorang wanita bertanya Nabi s.a.w:
“Wahai Rasulullah! Saya seorang wanita yang mempunyai sanggul yang tebal, apakah saya mesti merongkaikannya untuk mandi junub? Jawab Rasulullah s.a.w: “Tidak! Hanya memadai engkau mencurahkan sebanyak tiga kali, kemudian engkau sirami dirimu dengan air, maka engkau telah bersuci” (Riwayat Muslim).
Hadis ini menunjukkan Rasulullah s.a.w tidak membantah wanita ini mempunyai sanggul yang besar. Bahkan diberikan kemudahan kepada mereka yang bersanggul untuk tidak merongkaikannya ketika mandi wajib.
Gambar Hiasan
5. Adapun pakaian wanita yang berwarna bukanlah satu kesalahan selagi warna itu secara lojik itu tidak membawa kepada pandangan yang serong ataupun buruk terhadap dirinya. Ini kerana wanita pada zaman Nabi s.a.w, bahkan isteri-isteri dan anak perempuan baginda juga memakai pakaian berwarna. Begitu banyak riwayat yang membuktikan hal tersebut. Antaranya apa yang disebut oleh Aishah bint Sa’d:
“Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu’asfar (berwarna merah)” (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).
Mu’asfar bermaksud dicelup dengan ‘usfur iaitu sejenis tumbuhan yang menghasilkan warna merah. Said bin Jubair meriwayatkan bahawa beliau lihat sesetengah isteri Nabi s.a.w bertawaf di Kaabah memakai pakaian mu’asfar (Riwayat Ibn Abi Syaibah). ‘Umar bin Al-Khattab apabila melihat lelaki memakai warna mu’asfar, akan memarahi mereka dan berkata: “Tinggalkan ini untuk wanita” (al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).
6. Begitu juga “Anas bin Malik melihat Umm al-Kalthum puteri Rasulullah s.a.w memakai selendang daripada sutera bersulam emas” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ini menunjukkan pakaian jenama mahal, halus dan berwarna yang menawan iaitu keemasan. Dalam riwayat al-Bukhari juga: “Isteri ‘Abd al-Rahman bin al-Zubair datang mengadu kepada ‘Aishah. Kata Aishah r.a: “Dia memakai pakaian berwarna hijau”.
7. Maka kata al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (463):
“Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu’asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah” (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah).
Apa yang disebutkan ialah warna yang digunakan pada zaman tersebut. Sebahagian warna yang dilarang kepada lelaki, tetap dibenar perempuan. Ada keluasan dalam masalah ini.
8. Maka wanita boleh untuk bersanggul, membuka wajah mereka dan berpakaian berwarna. Asas yang penting yang mesti dijaga hendaklah penampilan mereka tidak memperlihatkan seakan mereka wanita yang kurang baik, atau ‘memburu lelaki’ atau apa yang boleh menimbulkan sangkaan pada kebiasaannya. Warna dan jenis pakaian dinilai berdasarkan kepada anggapan sesebuah masyarakat juga. Di samping ketetapan syarak, apa yang menjadi persepsi sesebuah masyarakat mengenai sesuai fesyen hendaklah diambil kira. Ini berdasarkan ayat tadi: (maksud) ; “cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu”.
MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERULANG?
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Soalan: Prof Madya Dr MAZA, saya seorang pemuda dan sering melakukan dosa. Sudah berulang kali saya bertaubat. Tapi kemudian saya tidak mampu kawal diri, saya buat lagi. Sudah berapa kali saya taubat sehingga saya rasa Allah sudah tidak mahu terima lagi taubat saya. Adakah taubat saya palsu? Adakah saya bohong Allah? Saya terus hanyut dengan perbuatan saya sendiri. Saya hendak taubat lagi, tapi rasa macam Allah dah tidak terima, atau takut saya sendiri ulang lagi. Boleh tak Dr berikan nasihat kepada saya?

Safwan, Melaka.

Jawapan Dr MAZA: Saudara, perasaan kesal atau keinsafan yang ada dalam jiwa saudara –alhamdulillah- menandakan bahawa cahaya iman itu masih kuat dalam diri saudara. Semoga kita semua selalu dibimbing Allah ke jalanNya yang lurus. Untuk soalan saudara maka saya jawab seperti berikut;

1. Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Ini berdasarkan firman Allah: maksudnya:
“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).
Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.
2. Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya. Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia diterima Allah.
Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.
3. Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang hamba bukannya perkara yang diada-adakan. Ia adalah cahaya iman yang lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan dosa. Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi. Siapakah yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa? Sudah pasti hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan yang disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar bertaubat.
4. Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Ini –seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam taubatnya yang sebelum itu. Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya. Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan berputus asa. Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa, sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.
berdoa3.jpg
5. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
6. Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya pergi.
7. Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus asa dari rahmat Allah. Firman Allah: (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).
Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.
8. Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran mengajar kita doa: (maksudnya)
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).
Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa:
“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim- dinilai sahih).
9. Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah sebaliknya. Firman Allah: (maksudnya)
“dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).
Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
10. Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya. Sabda Nabi:
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)
APAKAH ITU PERUBATAN ISLAM?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

 Soalan: Prof Madya Dr Mohd Asri, saya ada saudara yang menganggap bahawa kita tidak patut mengambil berubat dengan ubat-ubat yang lain dari yang Nabi s.a.w dah ajar. Dia kata perubatan Islam seperti ubat-ubat nabi sudah sempurna. Ubat-ubat hospital atau orang putih itu tidak sesuai dengan orang Islam. Orang Islam patut pegang ubat Islam, bukan ubat kafir. Apakah pandangan Dr Asri dalam hal ini?

Maslina, Jerantut.

Jawapan Dr MAZA: Maslina, sikap saudara puan/cik yang ingin menghayati ajaran Nabi s.a.w itu amatlah baik. Namun, beliau memerlukan kefahaman terhadap Islam yang lebih jelas dalam masalah ini. Perkataan perubatan Islam itu sendiri memerlukan penjelasan berdasarkan nas-nas Islam itu sendiri. Untuk itu maka saya ingin menyentuh beberapa perkara berikut;

1. Tiada istilah ‘perubatan Islam’ yang hanya merujuk kepada jampi atau bahan-bahan yang disebutkan oleh Nabi s.a.w semata. Berubat memang disuruh oleh Islam. Apa sahaja ubat yang mengikut kaedah perubatan yang betul maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh syarak. Ini termasuk perubatan dan ubat yang disebut oleh Nabi s.a.w, atau selainnya yang mengikut disiplin ilmu perubatan.
Maka, perubatan moden, atau cina, atau india, atau melayu yang berasaskan kaedah yang benar, bukan haram, khurafat atau syirik maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh Islam. Bahkan jika diyakini boleh menyembuhkan seseorang yang sakit, maka ia disuruh oleh Islam tanpa mengira asal usul perubatan tersebut.
2. Nabi s.a.w dalam hadis menyebut perubatan dan ubat secara umum, tanpa menghadkannya. Maka, setiap orang hendaklah berusaha mencari ubat yang paling berkesan. Dalam hadis yang sahih Nabi s.a.w bersabda:
“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Juga sabda baginda:
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H):
“Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafi`i), kebanyakan salaf dan keseluruhan khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia, antaranya; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya..” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).
3. Kemudian, satu perkara yang perlu diperingatkan bahawa bukan semua hadis-hadis tentang perubatan itu sahih, bahkan banyak yang palsu. Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (w. 751H) yang menulis kitab al-Tibb al-Nabawi (perubatan kenabian) sendiri mengingatkan dalam kitabnya al-Manar al-Munif bahawa salah satu ciri hadis palsu itu; hadis yang lebih berunsur ungkapan para pengamal perubatan yang dibuktikan oleh pancaindera atau fakta yang sahih tentang kepalsuannya. Dalam ertikata lain, di zaman sekarang jika fakta sains berjaya membuktikan kesalahan fakta hadis tersebut, maka itu salah satu ciri bahawa ia hadis yang palsu.
Satu contoh yang jelas hadis: “Terung itu mengikut hajat ia dimakan” dan hadis “Terung itu ubat untuk segala penyakit”. Ini adalah riwayat palsu. Kata al-Imam Ibn al-Qayyim:
“Semoga Allah menghodohkan pereka kedua hadith di atas. Perkara seperti ini jika disebut oleh orang yang paling pakar dalam perubatan pun, orang ramai akan mentertawakannya. Jika dimakan terung untuk demam panas, kemurungan dan banyak penyakit lain, ia hanya menambahkan keburukan lagi. Jika orang fakir makan agar dia kaya, dia tidak akan kaya. Jika orang jahil makan untuk pandai, dia tidak akan pandai” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 51. Syria: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyat).
4. Maka, banyak dakwaan yang dikatakan bersumberkan hadis, seperti makan kismis menguatkan ingatan tiada dalil yang sahih daripada Nabi s.a.w mengenainya. Ibn al-Qayyim sendiri menyebut dalam al-Tibb al-Nabawi bahawa ada dua hadis yang disebut tentang kelebihan kismis, tetapi kedua-duanya tidak sahih. Cumanya, ada riwayat daripada al-Zuhri beliau menyatakan kismis bermanfaat untuk ingatan. (lihat: Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma’ad, 4/318
honey.jpg
5. Apa yang disebut oleh al-Quran seperti khasiat madu, tiada sebarang syak tentang kewahyuannya (divinity). Cumanya, bagaimanakah proses perubatan itu hendak dikendalikan atau kadar dan caranya memerlukan kajian ilmiah perubatan.
6. Adapun hadis-hadis yang sahih yang menyebut tentang ubat-ubat tertentu seperti hadis habbatus sauda’ (jintan hitam), berbekam, air kencing unta, susu unta, oud hindi dan seumpamanya; para ulama berbeza pendapat tentangnya. Ada yang berpendapat hadis-hadis ini berasaskan wahyu. Ada pula yang berpendapat bahawa hadis-hadis ini Nabi s.a.w sebut berasaskan pengalaman, persekitaran dan zaman baginda hidup, bukanlah wahyu daripada Allah S.W.T.
7. Secara umumnya, ulama Hadis cenderung kepada pendapat bahawa hadis-hadis perubatan yang sahih itu berasaskan wahyu. Dalam ertikata lain ia adalah perkhabaran daripada Allah S.W.T kepada nabiNya s.a.w. Maka, semuanya kandungannya benar tepat dan untuk diamalkkan. Ertinya, ia perubatan yang mendapat pengiktirafan daripada Allah S.W.T sendiri. Maka, dalam kitab-kitab hadis didetilkan perkara-perkara ini sehingga dalam Sahih al-Bukhari ada Kitab al-Tibb (Kitab Perubatan). Ibn al-Qayyim dalam al-Tibb al-Nabawi berpegang dengan pendapat ini.
8. Golongan kedua seperti al-Qadi ‘Iyadh, Ibn Khaldun, Muhammad Abu Zahrah berpendapat bahawa hadis-hadis perubatan ini bukan berteraskan wahyu, sebaliknya Nabi s.a.w bercakap berdasarkan pengalaman dan persekitaran baginda ketika itu. Bagi ulama yang berpegang dengan pendapat ini mereka menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak diutuskan sebagai ahli perubatan dan itu bukan tujuan baginda diutuskan. Maka, ucapan atau tindakan baginda dalam perubatan sama seperti ahli masyarakat Arab lain ketika itu dan tidak semestinya tepat dengan realiti perubatan. Antara yang berpegang dengan fahaman ini al-Imam Ibn Khaldun (w. 808H) dalam kitabnya al-Muqaddimah.
Kata Ibn Khaldun:
“Maka perubatan yang diriwayatkan dalam syarak (hadis) kepada kita adalah dari jenis perubatan arab, sedikit pun bukan dari wahyu. Ia hanyalah perkara yang menjadi kebiasaan arab. Apa yang disebut keadaan Nabi s.a.w dalam hal ini termasuk dalam jenis adat dan jibiliyyah (tabiat kebiasaan) bukan kerana ia disyariatkan amal sedemikian rupa. Ini kerana Nabi s.a.w diutuskan untuk mengajar syariat, bukan untuk memperkenalkan perubatan atau adat kebiasaan yang lain” (Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, 493-494. Beirut: Dar al-Fikr).
9. Antara alasan golongan yang berpendapat bahawa perubatan Nabi s.a.w berasaskan kebiasaan dan pengalaman bukannya wahyu ialah hadis sahih yang mana Nabi s.a.w pernah melihat sahabat mengahwinkan pokok tamar, lalu baginda bersabda:
“Apa yang sedang kamu lakukan?”. Jawab mereka: “Kami telah lakukannya sebelum ini”. Jawab baginda: “Barangkali jika kamu tidak buat ia lebih baik”. Maka mereka pun tidak melakukannya, lalu pokok tidak berbuah. Mereka menyebut hal tersebut kepada Nabi s.a.w, lalu baginda bersabda: “Aku ini manusia. Apabila aku menyuruh kamu dari perkara agama, maka ambillah (patuhlah). Jika aku menyuruh kamu sesuatu dari pendapatku, maka aku hanyalah seorang manusia” (Riwayat Muslim).
Dalam riwayat yang lain, baginda menjawab:
“Jika itu memanfaatkan mereka maka lakukanlah. Aku hanya menyangka satu sangkaan, maka jangan salahkan aku atas sangkaan. Namun, jika aku memberitahu sesuatu daripada Allah maka ambillah, kerana sesungguhnya aku sama sekali tidak akan berdusta atas nama Allah” (Riwayat Muslim).
Juga di sana ada dalil-dalil yang lain yang menunjukkan bahawa adanya tindakan dan perkataan Nabi s.a.w itu berasaskan kebiasaan, atau pengalaman atau pandangan baginda dan bukannya wahyu. Ini termasuk pemilihan tempat yang baginda buat dalam Perang Badar yang kemudian dicadangkan tempat yang lain oleh Hubbab bin Munzir dan baginda mengubah pandangannya dan bersetuju dengan cadangan tersebut. Perkara ini menjadi perbahasan panjang dalam kalangan ulama dalam membezakan sunnah Nabi yang disyariatkan untuk diamalkan dan yang tidak disyariatkan untuk diamalkan.
10. Saya melihat; secara umumnya tujuan hadis-hadis perubatan ingin memberitahu kita bahawa kita disuruh untuk berubat berasaskan kepada bahan-bahan yang digunakan dalam perubatan yang diyakini boleh memberikan kesan. Nabi s.a.w menyebut bahan-bahan yang ada dalam masyarakat baginda dan digunakan serta memberi kesan pada zaman dan iklim baginda. Bahan-bahan itu boleh diambil iktibar, namun bukanlah pilihan yang terbaik bagi setiap masa dan keadaan. Bergantung kepada sejauh manakah ia berkesan untuk sesuatu tempat dan masa. Apa yang penting kita disuruh mencari yang berkesan tanpa mengira jenisnya.
black_seed.png
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H) ketika mensyarahkan hadis al-Bukhari:
“Habbatus sauda penyembuh bagi segala penyakit”, menyebut: “Ia bermanfaat untuk penyakit yang sejuk, adapun penyakit yang panas tidak!” (Fath al-Bari, 11/290. Beirut: Dar al-Fikr).
11. Maka, kesimpulannya setiap ubat yang bermanfaat adalah diiktiraf oleh Islam, tidak terbatas kepada apa yang disebutkan dalam hadis sahaja. Berdasarkan pendapat sebahagian ulama tadi, apa yang disebut dalam hadis juga perlu untuk diteliti dan dikaji semula kesesuaiannya kerana mungkin ada keadaan yang berbeza, atau di sana ada ubat yang lebih berkesan.
MASIHKAH MEREKA PEJUANG NEGARA ISLAM?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai yang menghantar mesej kepada saya meminta saya mengulas tentang kenyataan terbaru Tun Mahathir berhubung dengan hudud. Juga ada yang menyatakan saya ‘double-standard’ apabila tiba kepada Tun Mahathir saya selalu mengelakkan untuk mengulas disebabkan saya ada hubungan baik dengan beliau.
Sebenarnya, ia disebabkan saya di UK dan baru sahaja tahu isu itu apabila dibangkit oleh rakan-rakan ‘tweet’ (not twit). Jika saya di Malaysia, mungkin saya akan hubungi Tun sendiri, tapi jarak jauh menghalang hasrat tersebut.
Asas hukum hudud disebut dalam al-Quran seperti hukum potong tangan pencuri dan sebat bagi yang menuduh orang lain berzina dan yang berzina. Kewujudan hukum tersebut dalam al-Quran memang qat’i iaitu pasti tanpa sebarang takwilan lagi, Ini disebut sebagai qat’iya thubut.
Namun perbahasan ataupun pendetilan hukum tersebut seperti syarat-syarat hukum itu dilaksanakan, konteks perlaksanaan hukum dan segala pendetilan yang lain kebanyakannya adalah ijtihad ulama fekah. Kebanyakan ijtihad itu berasaskan kefahaman mereka terhadap nas-nas yang zanni (speculative text l zanniyyat dilalah) iaitu nas-nas al-Quran atau hadis yang mempunyai pelbagai penafsiran ataupun takwilan. Ijtihad itu terdedah kepada penilaian semula dengan menggunakan ijtihad yang lain. Berbeza pandangan dalam perkara ijtihad, bukan satu kesalahan akidah pun.
Setelah saya tonton video Tun Mahathir tersebut, saya dapati ada kesilapan dalam menggunakan istilah. Tun Mahathir mungkin memahami hudud itu sebagai perbahasan fekah berkaitan hudud, maka beliau menyatakan hudud tiada dalam al-Quran. Namun dalam masa yang sama beliau menyebut hanya ada beberapa hukum yang disebut secara umum. Di sini kesilapan beliau dalam menggunakan perkataan hudud tiada dalam al-Quran, sedangkan asas hukum tersebut memang ada dalam al-Quran. Harap Tun Mahathir dapat membetulkan kenyataan tersebut. Namun kenyataan beliau bahawa yang penting hendaklah ditegakkan keadilan, memang sedang dipakai oleh ramai ‘islamist’ di masa kini.
Siapakah Islamist
Minggu ini saya memohon dari Prof Tariq Ramadan untuk mengikuti kelas beliau ‘Political Islam, Islamism and Modern Islamic Movements’. Beliau membahaskan perkembangan golongan Islamist di Turki hari ini. Beliau meminta para pelajarnya memberikan, apakah golongan Islamist di Turki itu masih layak digelar Islamist ataupun tidak? Pelbagai pandangan diberikan oleh para pelajarnya. Kesimpulan dibiarkan terbuka. Kelas bersambung minggu hadapan. Maka saya terfikir untuk menyentuh tajuk ini dalam tulisan kali ini.
Ya, memang satu perkembangan yang menarik apabila Islamist di Turki tidak lagi melaungkan slogan perlaksanaan undang-undang syariah seperti hudud. Bahkan mereka bersedia untuk bekerja dan membangunkan negara dalam kerangka sekular (secular framework). Mereka menegak nilai-nilai Islam seperti ketelusan, amanah, berdisiplin dan lain-lain. Mereka tidak mengubah perlembagaan, sebaliknya bekerja dan memberi nafas kepada Islam dalam kerangka yang ada, tanpa menzahirkan perjuangan menentang secularism.
Isu hijab (tudung) di universiti di Turki yang tidak dibenar sebelum ini diatasi dengan perlantikan pentadbiran yang mempunyai lebih luas tentang undang-undang tersebut. Sehingga John L. Esposito dalam The Oxford Encyclopedia of Islamic World di bawah tajuk secularism menafsirkan perkembangan Islamist di Turki sebenarnya bukan pertarungan antara Islamism dan secularism, tetapi sebenarnya pertarungan dalam menafsirkan konsep secularism itu sendiri. Ia antara versi secular Anglo-American yang memberikan ruang kepada penglibatan agama dalam politik dibandingkan pemahaman French secularism yang bersifat keras terhadap agama dengan menganggap penglibatan agama akan mengancam social order. Maka, Esposito melihat Islamist di Turki itu berpihak kepada secularism versi Anglo-American.
Hari ini selepas ‘Arab Spring’, gerakan Islam di kebanyakan Negara Arab sudah mula bekerjasama dengan parti-parti lain yang tidak berasaskan Islam. Kerjasama itu sekaligus menjadikan mereka menggugurkan isu ‘Islamic State’ khususnya perlaksanaan hudud. Hal yang sama kita lihat di Malaysia. Ini menimbulkan perbahasan sarjana semasa di Barat dan Timur, apakah mereka itu masih dianggap sebagai Islamist atau mereka sebenarnya ‘post-Islamist’?
Pertamanya, istilah Islamist atau Islamism itu apakah maksudnya? Secara umum, perkataan islamist difahami di Barat khususnya kelompok yang memperjuangkan politik Islam. Mereka ini berhasrat menegakkan Negara Islam yang melaksanakan undang-undang Islam khususnya hudud. Jika maksud ini dipakai, maka kelihatannya kebanyakan gerakan Islam hari ini bukan lagi Islamist seperti yang difahami oleh Barat.
Namun jika istilah Islamist diberikan kepada mereka yang cuba menjadi muslim yang baik dalam kehidupan harian, mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan individunya seperti amanah dalam pentadbiran, maka mereka ini masih lagi islamist. Jika disoal secara lebih jelas, apakah mereka ini pejuang Negara Islam versi lama mereka ataupun Negara Islam versi hudud? Jawapannya, kelihatan pada kemungkinan dan realiti, mereka bukan lagi pejuang Negara Islam versi berkenaan.
Post-Islamism
Asef Bayat dalam tulisannya “The Coming of a Post-Islamist Society” menggunakan istilah post-islamism merujuk kepada golongan Islamist di Iran. Beliau menyifatkan golongan post-islamist ini ialah mereka yang cuba mengadunkan semula antara Islam dan realiti dunia masa kini khususnya yang membabitkan soal kebebasan hak individu, demokrasi dan kemodenan. Beliau menyebut:
“Post- Islamism is expressed in the idea of fusion between Islam (as a personalized faith) and individual freedom and choice; and post-Islamism is associated with the values of democracy and aspects of modernity”
Mengapa ini berlaku? Kesemua ini berlaku disebabkan pengalaman yang dilalui oleh gerakan Islam menunjukkan kegagalan dalam banyak perkara untuk melaksanakan slogan-slogan yang dilaungkan sebelum ini. Realiti politik dunia menunjukkan banyak slogan mereka sebelum ini lebih berbentuk retorik yang tidak dapat dilaksanakan. Negara seperti yang mereka baca dalam kitab-kitab lama itu sudah tidak wujud. Sudah tiada lagi Negara Khalifah. Nation State ataupun negara bangsa hari ini mempunyai realiti yang berbeza.
Globalisasi pula sedang menghakiskan ciri-ciri nation state yang ada. Hari ini perkaitan antara politik dan ekonomi amatlah jelas. Dunia terbuka era teknologi juga mengubah terlalu banyak perkara. Hal ini akan lebih jelas terasa apabila golongan Islamist itu sendiri mendapat kekuasaan seperti di Turki dan juga beberapa Negara Arab yang baru diperolehi.
Maka, selama ini mereka mungkin telah melihat nas-nas politik dalam Islam itu di luar dari konteks yang sepatutnya ataupun decontextualization of nas. Mereka mungkin hanya membaca nas tanpa melihat konteks dan realiti yang wujud dipersekitaran nas. Tidak mengkaji rentak ruang yang mana nas-nas itu beroperasi (tempo-spatial contexts). Sedangkan dalam memahami nas, persekitaran ekonomi dan politik (economic and political milieu) yang wujud semasa nas-nas politik Madinah itu lahir hendaklah diambil kira.
Nabi s.a.w mengambil kira persoalan persekitaran politik ataupun realiti yang ada dalam perlaksanaan pemerintahan. Justeru itu, baginda tidak mengarahkan Najasyi Raja Habsyah yang menganut Islam itu untuk memerintah sama seperti kerajaan Nabi s.a.w di Madinah. Najasyi atau Ashamah bin Abjar mengepalai kerajaan Kristian. Maka, realitinya berbeza. Nabi s.a.w tidak mempersalahkannya disebabkan ruang yang terhad yang dia ada. Tidak pula disuruh dia meninggalkan jawatannya. Sebaliknya memuji ketelusan yang digunakan dalam ruang yang ada. Bahkan apabila Najasyi meninggal, Nabi s.a.w menyebut:
“Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”. (Riwayat al-Bukhari).
Demikian juga Nabi Yusuf yang bergerak dalam ruangan politik yang ada di zaman baginda.
Gerakan Islam mula rasional dan akur bahawa mereka mesti memahami text dan context. Jika perubahan dalam pendekatan dan kefahaman mereka kini dianggap tidak Islamik oleh sesetengah pihak, maka itu satu penafsiran yang dangkal. Realitinya, dunia Islam berhajatkan kepada pemerintah yang cekap, amanah, adil serta berjaya menghidupkan kebahagiaan rakyat. Jika gerakan Islam berjaya melakukan hal itu, maka itu satu kejayaan.
BILAKAH SULTAN MENJADI BAYANGAN ALLAH DI BUMI?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

 Minggu ini saya kembali ke Oxford, UK. Beberapa minggu berada di Malaysia. Di samping menyambut kedatangan ‘puteri baru’, banyak juga aktiviti yang sempat saya sertai. Bahang pilihanraya semakin kuat sehingga segala perkara berbau politik. Semalam semasa seminar ‘Islam and Europe’ di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), directornya Dr Farhan Nizami bersembang dengan kami dengan memberi pandangannya tentang Malaysia. Katanya, betapa dia tidak menyangka bahawa bangsa melayu yang kelihatan sopan santun itu apabila tiba kepada bab politik, mereka berpolitik habis-habisan. Saya senyum sahaja mendengar ulasannya.
Berkaitan fenomena piliharaya juga, beberapa hari lepas saya menerima begitu banyak soalan berhubung dengan ‘Raja adalah bayangan Allah di bumi’. Hadis ini katanya telah diwar-warkan oleh pihak tertentu dalam menjustifikasikan perjuangan tertentu. Saya dengar ada yang lebih lantang lagi dengan menyebut lafaz asal hadis itu ‘al-Sultan adalah bayangan Allah di bumi’ bagi merujuk sultan pilihannya. Ada pula yang seakan ingin menyuburkan feudalisme melayu dengan hadis tersebut. Saya bergurau dengan sesetengah pihak yang berminat menggunakan hadis itu dengan berkata: “Raja yang menjadi bayangan Allah itu Raja Jordan ke, atau Raja Saudi? Atau Raja Morocco? Oleh kerana terlalu umum, apakah boleh juga digunakan oleh Raja Siam?”
Sebenarnya, perkataan yang digunakan dalam hadis ‘al-Sultan’ bukan al-Malik (Raja). Jika ia difaham secara bahasa melayu, mungkin para sultan seperti Sultan Qabos di Oman atau Sultan Brunei tergambar semasa membaca hadis ini. Sudah pasti bukan Sultan Damsyik Jani dari ‘Negara Pasir Berdengung’ dalam filem Doremi arahan P.Ramlee.
Sebenarnya hadis tersebut mempunyai banyak riwayat. Ada yang palsu, ada yang sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang hasan ataupun mungkin boleh mendekati sahih. Antara lafaz yang palsu atau sekurang-kurang teramat daif:
السلطان ظل الله تعالى في الأرض فإن أحسنوا فلهم الأجر وعليكم الشكر وإن أساءوا فعليهم الإصر وعليكم الصبر لا يحملنكم إساءته على أن تخرجوا من طاعته فإن الذل في طاعة الله خير من خلود في النار لولاهم ما صلح الناس
(terjemahan) “al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman”. (hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai ‘terlalu daif’ dalam Silsilah al-Daifah/no. 1664)
Namun secara kesimpulan penilaian hadis, setakat lafaz “Al-Sultan bayangan Allah di bumi” adalah sahih disebabkan pelbagai riwayat. Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang hasan, daif, sangat daif dan palsu.
Ada juga riwayat dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut:
السلطان ظل الله في الأرض، فإذا دخل أحدكم بلدا ليس به سلطان فلا يقيمن به
“al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya”.
Saya bimbang menjelang musim berkempen ini akan ada yang menggunakan riwayat yang daif ini untuk melarang orang tinggal di negeri-negeri yang tiada sultan seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Kemudian, di Negara Arab hanyalah Negara Oman yang boleh tinggal dalamnya sebab masih ada Sultan Qabos. Selainnya sudah tiada sultan. Indonesia pun tidak boleh tinggal dalamnya kerana sudah tiada sultan. Hanya Brunei yang sesuai. Jangan sampai begitu pulak tafsiran kita.
Apakah Maksud ‘al-Sultan’?
Perkataan al-Sultan bukanlah bermaksud pemerintah yang memakai gelaran ‘sultan’. Jika tidak sudah pasti al-Khulafa al-Rasyidin menggunakan gelaran sultan. Sultan bermaksud pihak yang berkuasa. Ertinya ia merangkumi semua mereka yang mempunyai kuasa pemerintahan tanpa mengira apapun gelarannya. Abu Bakr al-Siddiq naik memerintah selepas Rasulullah memakai gelaran ‘Khalifah Rasulillah’, kemudian pada zaman ‘Umar mula diperkenalkan gelaran ‘Amir al-Mukminin. Secara umumnya dipanggil keempat sahabat pemerintah itu dengan khalifah. Semasa Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah dikekalkan gelaran khalifah. Selepas itu beberapa dinasti seperti Ayyubiah, Mamalik dan ‘Uthamaniyyah memakai gelaran sultan. Mereka itu kebanyakannya bukan arab. Ada juga yang memakai al-Malik iaitu ‘raja’ dan sebagainya.
Maka hendaklah jelas, perkataan sultan dalam hadis merujuk kepada ulul amri iaitu mereka yang berkuasa memerintah. Jangan putarkan hadis untuk pemainan politik. Ertinya, secara literal dalam konteks Malaysia, Perdana Menteri juga zhillu Allah ataupun bayangan Allah di bumi. Demikian Presiden Mesir, Libya dan sebagainya. Kini kita wajar bertanya apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti golongan literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau presiden sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin dijustifikasikan segala tindakannya. Jika mereka itu berjudi di London ini sehingga tergadai balak dan minyak di negara mereka apakah itu bayangan Allah? Jika mereka kejam seperti Assad di Syria, atau mereka rasuah dan bermewahan dengan harta rakyat jelata, apakah mereka tetap dimuliakan sebab mereka bayangan Allah?
Bayangan Allah
Jika kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti ataupun wakil. Apabila kita menyebut manusia khalifah Allah bermaksud manusia mengganti Allah di bumi. Ketika menafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30 berhubung manusia sebagai khalifah Allah di bumi, al-Imam al-Baidawi berkata:
“Khalifah itu bermaksud (dari segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam a.s. kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumiNya. Demikian sekelian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka” (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64).
Makna yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan Allah di bumi. Bukan bermaksud kesucian penguasa sehingga tidak boleh dibahas dan dipertikaikan. Sama sekali tidak! Sebab betapa ramai manusia ini yang Allah tabalkan menjadi khalifah telah melakukan kerja yang sebaliknya. Apakah kita tetap mempertahankannya atas nama khalifah Allah?! Justeru al-Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir ketika menafsir maksud: “Al-Sultan bayangan Allah di bumi” beliau berkata “kerana dia memelihara manusia dari keburukan seperti bayang memelihara dari panas matahari”. Ya! Demikianlah tugasan penguasa!
Dalam masa yang sama kita hendaklah sedar, bahawa berlebihan dalam menggunakan agama untuk kepentingan politik telah mengorbankan agama itu sendiri. Inilah yang berlaku di Barat yang diistilahkan sebagai secularism ataupun lebih mudah difahami sebagai ‘a movement towards the separation of religion and government’. Walaupun secularism itu mempunyai akar yang lama sejak zaman Greek dan Roman tetapi di Eropah ia subur dan diperjuangkan pada era Enlightenment akibat dari kesedaran rakyat tentang betapa buruk peranan agama dalam politik. Saya akan bahaskan nanti. Islam memandu politik supaya harmoni dan kudus. Islam bukan alat politik tetapi cahaya yang menerangi jalan politik yang dibina atas maslahah rakyat.
Sultan ataupun penguasa bayangan Tuhan boleh disalahtafsirkan seperti yang berlaku dalam sejarah politik pelbagai bangsa. Akibatnya, kerakusan penguasa mencengkam rakyat dan dihalalkan atas nama Tuhan. Jika hendak memahami maksud penguasa bayangan Tuhan dalam Islam, fahamilah ucapan Abu Bakr al-Siddiq apabila menjadi khalifah:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Inilah insan yang paling faham maksud sultan itu bayangan Allah di bumi. Jangan kita gadaikan Islam untuk suatu penafsiran nas yang akhirnya akan menimbulkan syak manusia terhadap Allah dan RasulNya.
MUHARRAM BUKAN BULAN NABI BERHIJRAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Soalan: Dr Asri, menjelang bulan Muharram, kita umat Islam akan memperkatakan tentang bulan ini sebagai bulan Hijrah, di mana Nabi s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah. Bolehkah Dr bincangkan hikmah Nabi s.a.w memilih bulan Muharram sebagai bulan hijrah baginda? Apakah lagi yang patut kita lakukan untuk menyambut bulan hijrah ini selain dari apa yang biasa masyarakat kita lakukan?

Nasir, Kuantan.

Jawapan Dr MAZA: Terima kasih atas soalan yang diberikan. Sebenarnya, banyak perkara dalam mengambil fakta agama dibuat secara ikutan tanpa penelitian dan semakan yang pasti. Kita sering mengikut apa yang orang lain sebut atau ungkapkan tanpa kita memastikan ketepatannya. Malang sekali, bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat awam, tetapi juga dalam kalangan mereka yang terpelajar. Untuk menjawab soalan saudara, saya ingin sentuh beberapa perkara berikut;

1. Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.
2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.
Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.
Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w berhijrah.
3. Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).
Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.
4. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).
gua_thur.jpg
Gambar Hiasan – Gua Thur
5. Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.
6. Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.
7. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.
8. Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.
9. Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.
ISRAILIYYAT: PENCERAMAH MENCEMARKAN AL-QURAN
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

 Melihat sesetengah penceramah televisyen atau di luar televisyen berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari mana dikutipnya, amatlah merisaukan hati. Sebahagian kisah-kisah yang disebutkan itu tidak mempunyai sebarang sandaran agama yang diiktiraf dari segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya adalah Israiliyyat. Lebih malang lagi, sebahagian kisah-kisah itu kelihatan seperti mitos atau kartun semata. Apabila ianya jika dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama wahyu yang agung dan berwibawa ini.

Secara umumnya Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Bukan sedikit juga riwayat-riwayat tersebut yang terselit atau disebutkan dalam buku-buku umat Islam. Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat membezakan antara israiliyyat.


Cakap Orang Tua Tak Semua Betul
Dunia semakin canggih, teknologi berkembang di luar dari igauan generasi yang lalu. Banyak perkara yang tidak wujud pada masa generasi lalu, ia adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan juga berubah. Dahulu apa yang dinyatakan oleh orang tua-tua kesemuanya tidak dibantah. “Orang tua selalu betul”. Hari ini barangkali tidak. Mungkin pandangan orang tua-tua dalam sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’. Dahulu cakap orang yang bergelar ustaz atau tok guru tidak akan dibantah. Bahkan dianggap berdosa jika membantah dan melawan. Maka segala perbuatan ustaz atau tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘tuhan’ yang tidak dipertikaikan firmannya. Ucapan mereka diterima bulat-bulat. Bagaikan Rasul yang maksum.Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ itu syirik, namun oleh kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat melayu. Tepung tawar pelepas bala bukan ajaran Islam. Bahkan ia mempunyai nilai-nilai syirik yang jelas. Namun, dahulu ramai yang membuatnya. Sebabnya kerja ini di’francais’ oleh yang bergelar ustaz atau mungkin yang bergelar tok guru. Perkara yang ‘sewaktu’ dengan semua itu bukan sedikit telah berlaku dalam masyarakat kita. Namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang sudah pupus. Generasi baru sudah mula celik.
Sains Menolak Dongeng
Hari ini dunia lebih moden. Generasi baru mendapat pendidikan yang luas. Pendidikan dan pengetahuan moden selalu menuntut setiap perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka. Maka tidak hairan jika generasi moden mula mempersoalkan banyak perkara-perkara yang dianggap berakar umbi dalam masyarakat sekalipun atas nama agama. Dahulu barangkali seorang ustaz di masjid boleh menceritakan berbagai riwayat Israiliyyat dengan selesa. Sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak seorang nabi diperkatunkan sehingga hilang kehebatan perjuangannya. Hari ini kisah-kisah itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘kancil’, tetapi mereka tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan seorang nabi yang mempunyai tugasan dakwah yang agung.
kueh-bubur-asyura.jpg
Gambar Hiasan – Bubur Asyura
 Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharram atau ‘asyura boleh bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dengan berkempen orang ramai memasak bubur tersebut untuk dimakan. Hari ini, generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu dan rasional untuk kita melakukannya. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai seorang chef untuk memperkenalkan resepi bubur. Dia adalah seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar. Mereka mungkin sudi memakan bubur tersebut. Tetapi tidak sanggup perkara itu dikaitkan sebagai satu arahan Islam yang agung ini. Dahulu barangkali seorang ‘ustaz’ boleh bercerita dengan bebas jampi penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini perkara seperti itu tentu dipertikaikan.
Dahulu, ada yang mempercayai cerita sesetengah ustaz atau lebai bahawa: “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”
Pengetahuan moden sama sekali menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini adalah riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini:
“Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini”.( Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78, Syria: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah)
Kata Abu Syahbah :
“Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305, Kaherah: Maktabah al-Sunnah)
Malangnya, ada golongan agama dahulunya mempercayai perkara ini. Mereka menyangka bahawa dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu itu berada atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu yang lain. Ini adalah karut, menyanggahi hakikat yang diterima secara yakin bahawa bumi ini terapung-apung di angkasa.
Fokus Tajdid
Kita menyeru kepada tajdid (pembaharuan). Kita menentang hal ini. Kita katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan antara isi al-Quran yang sebenar dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden yang telah banyak menolak bentuk-bentuk khurafat.
Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah yang jelas dalam membezakan antara kisah-kisah yang termuat dalam buku-buku tafsir dan kisah-kisah al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menyangka al-Quran menghidangkan kisah-kisah lucu, atau ada kandungan al-Quran yang bertentangan dengan fakta sains seperti contoh-contoh yang disebutkan tadi. Kata guru saya iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah `Abd al-Fattah al-Khalidi :
“Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah dari kalangan muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka telah mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak lebih dari kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israilliyyat dan kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma`a Qasas al-Sabiqin fi al-Quran 1/31, Damsyik: Dar al-Qalam.)
Di saat dunia semakin canggih dan moden. Kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang telah membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya Islam sahaja, yang dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan. Tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh, kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari oleh kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Malangnya ada di kalangan umat, terutama para pendakwah dan penceramah yang kurang berhati-hati mencemarkan al-Quran dengan kisah-kisah israiliyyat dan rekaan yang merosakkan agama.
Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran. Israiliyyat telah memalingkan manusia dari memberikan tumpuan kepada inti-kandungan pengajaran kepada unsur-unsur yang tidak bermanfaat. Apatah lagi tidak dikenalpasti pula sejauh kebenarannya. Bahkan sebahagian besarnya adalah karut marut dan bohong. Kisah Luqman umpamanya, al-Quran hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat dan dapat dicontohi. Firman Allah :
(maksudnya): Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada Allah”. Dan sesiapa yang bersyukur, maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman: 12)
Demikian insan apabila membaca ayat ini akan tahu pengajaran yang dapat dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang Allah berikan. Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman yang berguna kepada anaknya. Nasihat-nasihat tersebut banyak pengajarannya. Antaranya ia adalah nasihat yang berkualiti yang terbit dari orang yang diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut. Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan yang bermutu dan tepat. Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman adalah seorang lelaki hamba abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai lagi. (lihat: Salah al-Khalidi, Ma’ Qasas al-Sabiqin, 3/150)
Tambahan Israiliyyat ini, hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada tujuan utama al-Quran yang menghidangkan kisah tersebut sebagai suatu pengajaran dan pengiktibaran yang dapat dimanfaat oleh semua kepada perbincangan yang belum tentu ada faedahnya. Apakah faedah besar untuk pembaca al-Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa Habsyi, berhidung penyek?!. Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah telah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa Habsyi. Apakah itu tujuan kisah yang dibawa?! Atau tujuannya mengkisahkan seorang hamba Allah yang diberi hikmah dan dia diperintahkan bersyukur kepada tuhannya. Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.
Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain:
“Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya dan latarbelakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran, pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan-panduan yang terdapat dalam kisah-kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.
Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi kisah-kisah umat yang lalu. Mereka sepatutnya mengambil faedah dari method al-Quran dalam melihat dan menghuraikan kisah-kisah tersebut. Mereka sepatutnya menumpukan kepada inti panduan dan pengajaran. Mereka tidak sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia yang bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Barangkali boleh memberikan mereka ilmu yang dipercayai dalam hal ini. Malangnya mereka mencari dari sumber yang yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil dari manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi)..”. (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85, Jordan: Maktabah al-Manar)
Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru. Maklumat berkembang begitu pantas dan tangkas. Masa untuk insan muslim membaca al-Quran juga terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa mengasak dan mendesak. Untuk memahami al-Quran, insan muslim tentu memerlukan lebih kesungguhan iman dan kehendak yang jitu bagi memperuntukkan waktu yang dianggap amat berharga dan selalu memburu. Jika waktu yang terhad itu dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat yang termuat di dalam karangan atau huraian sesetengah penulis dan penceramah, tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran akan tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu sebahagiannya mencemarkan wajah agama di hadapan fakta sains dan maklumat.
Mengelirukan Wajah Islam
Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam lalu menolak dan mempertikaikannya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar sesetengah ‘ustaz’ di Malaysia ini yang menyatakan umur dunia ialah 7000 tahun. Alangkah terperanjatnya mereka kerana para saintis yang mengkaji umur kehidupan di atas muka bumi menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun. Mereka akan tertanya: inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar?!! Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan Islam. (Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14, Damsyik: dar al-Qalam)
Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi:
“Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin”. (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen.

Makalah : Hadith

Golongan yang Masuk Surga Tanpa Hisab Dan Adzab

8 Jul 2010
majalah-assunnah.com
hutan
Dari Hushain bin Abdurrahman berkata:
"Ketika saya berada di dekat Sa'id bin Jubair, dia berkata: "Siapakah diantara kalian yang melihat bintang jatuh semalam?"
Saya menjawab:"Saya.” Kemudian saya berkata: "Adapun saya ketika itu tidak dalam keadaan sholat, tetapi terkena sengatan kalajengking."
Lalu ia bertanya: "Lalu apa yang anda kerjakan?"
Saya menjawab: "Saya minta diruqyah"
Ia bertanya lagi: "Apa yang mendorong anda melakukan hal tersebut?"
Jawabku: "Sebuah hadits yang dituturkan Asy-Sya'by kepada kami."
Ia bertanya lagi: "Apakah hadits yang dituturkan oleh Asy-Sya'bi kepada anda?"
Saya katakan: "Dia menuturkan hadits dari Buraidah bin Hushaib: "Tidak ada ruqyah kecuali karena 'ain atau terkena sengatan."
Sa'id pun berkata:
"Alangkah baiknya orang yang beramal sesuai dengan nash yang telah didengarnya, akan tetapi Ibnu Abbas radhiallahu'anhu menuturkan kepada kami hadits dari Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam, Beliau bersabda:
"Saya telah diperlihatkan beberapa umat oleh Allah, lalu saya melihat seorang Nabi bersama beberapa orang, seorang Nabi bersama seorang dan dua orang dan seorang Nabi sendiri, tidak seorangpun menyertainya. Tiba-tiba ditampakkan kepada saya sekelompok orang yang sangat banyak. Lalu saya mengira mereka itu umatku, tetapi disampaikan kepada saya: "Itu adalah Musa dan kaumnya". Lalu tiba-tiba saya melihat lagi sejumlah besar orang, dan disampaikan kepada saya: "Ini adalah umatmu, bersama mereka ada tujuh puluh ribu orang, mereka akan masuk surga tanpa hisab dan adzab."
Kemudian Beliau bangkit dan masuk rumah. Orang-orang pun saling berbicara satu dengan yang lainnya," Siapakah gerangan mereka itu?"
Ada diantara mereka yang mengatakan:
"Mungkin saja mereka itu sahabat Rasulullâh Salallahu 'Alaihi Wassalam."
Ada lagi yang mengatakan:
"Mungkin saja mereka orang-orang yang dilahirkan dalam lingkungan Islam dan tidak pernah berbuat syirik terhadap Allah"
dan menyebutkan yang lainnya.
Ketika Rasulullâh Salallahu ‘Alaihi Wassalam keluar, mereka memberitahukan hal tersebut kepada beliau. Beliau bersabda:
"Mereka itu adalah orang yang tidak pernah minta diruqyah, tidak meminta di kay dan tidak pernah melakukan tathayyur serta mereka bertawakkal kepada Rabb mereka."
Lalu Ukasyah bin Mihshon berdiri dan berkata:
"Mohonkanlah kepada Allah, mudah-mudahan saya termasuk golongan mereka!"
Beliau menjawab:
"Engkau termasuk mereka"
Kemudian berdirilah seorang yang lain dan berkata:
"Mohonlah kepada Allah, mudah-mudahan saya termasuk golongan mereka!"
Beliau menjawab:
"Kamu sudah didahului Ukasyah."


Takhrij Hadist
Hadits ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Biografi Singkat Rawi Dan Sahabat Yang Terdapat Dalam Hadits
  1. Hushain bin Abdurrahman, beliau adalah As-Sulami Abu Hudzail Al-Kuufi, seorang yang tsiqah. Wafat pada tahun 136 H pada usia 93 tahun.
  2. Sa'id bin Jubair, beliau adalah seorang imam yang faqih termasuk murid senior Ibnu Abbas. Periwayatannya dari Aisyah dan Abu Musa adalah mursal, beliau seorang pemimpin Bani As'ad yang dibunuh oleh Al-Hajaaj bin Yusuf ats-Tsaqafiy tahun 95 H dalam usia 50 tahun.
  3. Asy-Sya'bi, beliau bernama Amir bin Surahil al-Hamadani, dilahirkan pada masa kekhilafahan Umar dan termasuk tabi'in terkenal dan ahli fiqih mereka, wafat tahun 103 H.
  4. Buraaidah bin al-Hushaib, beliau adalah Ibnul Harits al-Aslamy, shahabat masyhur, wafat tahun 63 menurut pendapat Ibnu Sa'ad.
  5. Ukasyah bin Mihshon, beliau berasal dari Bani As'ad bin Khuzaimah dan termasuk pendahulu dalam Islam. Beliau hijrah dan menyaksikan perang Badar dan perang-perang lainnya. Beliau mati syahid dalam perang Riddah dibunuh Thulaihah al-Asady tahun 12 H. Kemudian Thulaihah masuk Islam setelah itu, ikut berjihad melawan Persi pada hari Al-Qadisiyah bersama Sa'ad bin Abu Waqash dan mati syahid di Waqi'atuull Jasri'al-Mashurah.

Kedudukan Hadits

Hadits ini menjelaskan beberapa hal. Diantaranya pentingnya beramal dengan dalil, penjelasan tidak semua Nabi punya pengikut dan penjelasan mengenai golongan yang masuk surga tanpa hisab dan adzab.

Keterangan Hadits
  1. Beramal dengan dalil Hushain bin Abdurrahman terkena sengatan kalajengking. Lalu meminta ruqyah dalam pengobatannya. Beliau lakukan hal itu bukan tanpa dalil. Beliau berdalil dengan hadits dari Buraidah bin al-Husaib Tidak ada ruqyah kecuali karena ain atau sengatan kalajengking.
  2. Jumlah pengikut Nabi. Sa'id mendengar hadits dari Ibnu Abbas, berisi keterangan diperlihatkan kepada Nabi beberapa umat. Beliau melihat seorang nabi beserta pengikutnya yang jumlahnya tidak lebih dari sepuluh. Seorang nabi beserta satu atau dua orang pengikutnya, dan seorang nabi yang tidak memiliki pengikut. Kemudian diperlihatkan kepada beliau sekelompok manusia yang banyak dan ternyata adalah umat Nabi Musa 'alaihissalam. Kemudian baru diperlihatkan umat beliau sebanyak 70 ribu orang yang masuk surga tanpa hisab dan adzab. Hal ini menunjukkan kebenaran itu tidak dilihat dari banyaknya pengikut.
  3. Golongan yang masuk surga tanpa hisab dan adzab. Mereka adalah umat Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam yang merealisasikan tauhid. Sebagaimana dalam riwayat Ibnu Fudhail: "Dan akan masuk surga diantara mereka 70 ribu orang." Demikian juga dalam hadits Abu Hurairah dalam shahihain: "Wajah-wajah mereka bersinar seperti sinar bulan pada malam purnama".

    Dalam hal yang sama Imam Ahmad dan Baihaqi meriwayatkan hadits Abu Hurairah radhiallahu'anhu dengan lafadz: "Maka saya minta tambah (kepada Rabbku), kemudian Allah memberi saya tambahan setiap seribu orang itu membawa 70 ribu orang lagi". Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata mengomentari sanad hadits ini: "Sanadnya jayyid (bagus)".

    Mereka itu adalah orang-orang yang:
A. Tidak minta diruqyah.
Demikianlah yang ada dalam shahihain. Juga pada hadits Ibnu Mas'ud dalam musnad Imam Ahmad. Sedangkan dalam riwayat Imam Muslim (وَلاَ يَرْقُوْنَ ) artinya yang tidak meruqyah.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: "Ini merupakan lafadz tambahan dari prasangka rawi dan Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam tidak bersabda (وَلاَ يَرْقُوْنَ ) karena Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam pernah ditanya tentang ruqyah, lalu beliau menjawab:

“Barangsiapa diantara kalian mampu memberi manfaat kepada saudaranya, maka berilah padanya manfaat" dan bersabda: "Boleh menggunakan ruqyah selama tidak terjadi kesyirikan padanya."

Ditambah lagi dengan amalan Jibril 'alaihissalam yang meruqyah Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam dan Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam meruqyah shahabat-shahabatnya. Beliaupun menjelaskan perbedaan antara orang yang meruqyah dengan orang yang meminta diruqyah: Mustarqi (orang yang meminta diruqyah) adalah orang yang minta diobati, dan hatinya sedikit berpaling kepada selain Allah. Hal ini akan mengurangi nilai tawakkalnya kepada Allah. Sedangkan arraaqi (orang yang meruqyah) adalah orang yang berbuat baik."

Beliau berkata pula: "Dan yang dimaksud sifat golongan yang termasuk 70 ribu itu adalah tidak meruqyah karena kesempurnaan tawakkal mereka kepada Allah dan tidak meminta kepada selain mereka untuk meruqyahnya serta tidak pula minta di kay." Demikian pula hal ini disampaikan Ibnul Qayyim.

B. Tidak Minta di kay (وَلاَ يَكْتَوُوْنَ )
Mereka tidak minta kepada orang lain untuk mengkay sebagaimana mereka tidak minta diruqyah. Mereka menerima qadha' dan menikmati musibah yang menimpa mereka.

Syaikh Abdurrahman bin Hasan Ali Syaikh berkata: "Sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam (لاَ يَكْتَوُوْنَ ) lebih umum dari pada sekedar minta di kay atau melakukannya dengan kemauan mereka.

Sedangkan hukum kay sendiri dalam Islam tidak dilarang, sebagaimana dalam hadits yang shahih dari Jabir bin Abdullah:

Bahwa Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam mengutus seorang tabib kepada Ubay bin Ka'ab, lalu dia memotong uratnya dan meng-kay-nya.

Demikan juga di jelaskan dalam shahih Bukhari dari Anas radhiallahu'anhu :

Anas berkata, “Bahwasanya aku mengkay bisul yang ke arah dalam sedangkan Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam masih hidup.”

Dan dalam riwayat dari Tirmidzi dan yang lainnya dari Anas:

Sesungguhnya Nabi mengkay As'ad bin Zurarah karena sengatan kalajengking Juga dalam shahih Bukhari dari Ibnu Abbas secara marfu':

“Pengobatan itu dengan tiga cara yaitu dengan berbekam, minum madu dan kay dengan api dan saya melarang umatku dari kay. { Dalam riwayat yang lain: Dan saya tidak menyukai kay}.

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, "Hadits-hadits tentang kay itu mengandung 4 hal yaitu:
  1. Perbuatan Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam. Hal itu menunjukkan bolehnya melakukan kay.
  2. Rasulullah tidak menyukainya. Hal itu tidak menunjukkan larangan.
  3. Pujian bagi oraang yang meninggalkan. Menunjukkan meninggalkan kay itu lebih utama dan lebih baik.
  4. Larangan melakukan kay. Hal itu menunjukkan jalan pilihan dan makruhnya kay.
C. Tidak Melakukan Tathayyur
Mereka tidak merasa pesimis, tidak merasa bernasib sial atau buruk karena melihat burung atau binatang yang lainnya.

4. Mereka Bertawakal Kepada Allah

Disebutkan dalam hadits ini, perbuatan dan kebiasaan itu bercabang dari rasa tawakkal dan berlindung serta bersandar hanya kepada Allah.
Hal tersebut merupakan puncak realisasi tauhid yang membuahkan kedudukan yang mulia berupa mahabbah (rasa cinta), raja' (pengharapan), khauf (takut) dan ridha kepada Allah sebagai Rabb dan Ilah serta ridha dengan qadha'Nya.

Ketahuilah makna hadits di atas tidak menunjukkan bahwa mereka tidak mencari sebab sama sekali. Karena mencari sebab (supaya sakitnya sembuh) termasuk fitrah dan sesuatu yang tidak terpisah darinya.

Allah Ta'ala berfirman:

"Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan cukupi segala kebutuhannya."
(Ath-thalaq: 3)

Mereka meninggalkan perkara-perkara (ikhtiyar) makruh walaupun mereka sangat butuh dengan cara bertawakkal kepada Allah. Seperti kay dan ruqyah, mereka meninggalkan hal itu karena termasuk sebab yang makruh. Apalagi perkara yang haram.

Adapun mencari sebab yang bisa menyembuhkan penyakit dengan cara yang tidak dimakruhkan, maka tidak membuat cacat dalam tawakkal.

Dengan demikian kita tidaklah meninggalkan sebab-sebab yang disyari'atkan, sebagaimana dijelaskan dalam shahihain dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu secara marfu'.

”Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit kecuali menurunkan obat untuknya, mengetahui obat itu orang yang mengetahuinya dan tidak tahu obat itu bagi orang yang tidak mengetahuinya.”

Dari Usamah bin Syarik dia berkata: Suatu ketika saya di sisi Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam , datanglah orang Badui dan mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kami saling mengobati?"

Beliau menjawab: "Ya, wahai hamba-hamba Allah saling mengobatilah, sesungguhnya Ta'ala tidaklah menimpakan sesuatu kecuali Dia telah meletakkan obat baginya, kecuali satu penyakit saja, yaitu pikun.”
(HR. Ahmad)

Berkata Ibnu Qoyyim rahimahullah: Hadits-hadits ini mengandung penetapan sebab dan akibat, dan sebagai pembatal perkataan orang yang mengingkarinya.

Perintah untuk saling mengobati tidak bertentangan dengan tawakkal. Sebagaimana menolak lapar dan haus, panas dan dingin dengan lawan-lawannya (misalnya lapar dengan makan). Itu semua tidak menentang tawakkal. Bahkan tidaklah sempurna hakikat tauhid kecuali dengan mencari sebab yang telah Allah Ta'ala jadikan sebab dengan qadar dan syar'i. Orang yang menolak sebab itu malah membuat cacat tawakkalnya.

Hakikat tawakal adalah bersandarnya hati kepada Allah Ta’ala kepada perkara yang bermanfaat bagi hamba untuk diri dan dunianya. Maka bersandarnya hati itu harus diimbangi dengan mencari sebab. Kalau tidak berarti ia menolak hikmah dan syari'at. Maka seseorang hamba tidak boleh menjadikan kelemahannya sebagai tawakkal dan tidaklah tawakkal sebagai kelemahan.

Para ulama berselisih dalam masalah berobat, apakah termasuk mubah, lebih baik ditinggalkan atau mustahab atau wajib dilakukan? Yang masyhur menurut Imam Ahmad adalah pendapat pertama, yaitu mubah dengan dasar hadits ini dan yang semakna dengannya.

Sedangkan pendapat yang menyatakan lebih utama dilakukan adalah madzhab Syafi'i dan jumhur salaf dan khalaf serta al-Wazir Abul Midhfar, Demikian dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam Syarah Muslim. Sedangkan Madzhab Abu Hanifah menguatkan sampai mendekati wajib untuk berobat dan Madzhab Imam Malik menyatakan sama saja antara berobat dan meninggalkannya, sebagaimana disampaikan oleh Imam Malik: "Boleh berobat dan boleh juga meninggalkannya."

Dalam permasalahan ini, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: "Tidaklah wajib menurut jumhur para imam, sedangkan yang mewajibkan hanyalah sebagian kecil dari murid Imam Syafi'i dan Imam Ahmad.”

5. Kisah 'Ukasyah bin Mihshan 'Ukasyah
'Ukasyah bin Mihshan 'Ukasyah meminta kepada Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam supaya mendo'akannya masuk dalam golongan orang yang masuk surga tanpa hisab dan adzab.

Lalu Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam menjawab: "Engkau termasuk dari mereka." Sebagaimana dalam riwayat Bukhari beliau berdo'a: "Ya Allah jadikanlah dia termasuk mereka."

Dari sini diambil sebagai dalil dibolehkan minta do'a kepada orang yang lebih utama. Kemudian temannya yang tidak disebutkan namanya meminta Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam mendo'akannya pula, tapi Rasullullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam menjawab: "Engkau telah didahului 'Ukasyah."

Berkata Al-Qurthubi: "Bagi orang yang kedua keadaanya tidak seperti 'Ukasyah, oleh karena itu permintaannya tidak dikabulkan, jika dikabulkan tentu akan membuka pintu orang lain yang hadir untuk minta dido'akan dan perkara itu akan terus berlanjut. Dengan itu beliau menutup pintu tersebut dengan jawabannya yang singkat. Berkata Syaikh Abdirrahman bin Hasan Alu Syaikh: "Didalamnya terdapat penggunaan ungkapan sindiran oleh Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam dan keelokkan budi pekerti Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam.”

Faidah-Faidah Hadits:
  1. Beramal dengan berdasarkan dalil yang ada.
  2. Umat-umat telah ditampakkan kepada Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wassalam.
  3. Setiap umat dikumpulkan sendiri-sendiri bersama nabinya.
  4. Kebenaran itu tidak dilihat pada banyaknya pengikut tetapi kualitasnya.
  5. Keistimewaan umat Islam dengan kualitas dan kuantitasnya.
  6. Diperbolehkan melakukan ruqyah karena terkena ain dan sengatan.
  7. Di dalam hadits terdapat penjelasan manhaj salaf. Hal ini dapat dipahami dari perkataan Sa'id bin Jubair: "Sungguh telah berbuat baik orang yang mengamalkan hadits yang telah ia dengar." Dengan demikian jelaslah bahwa hadits yang pertama tidak bertentangan dengan hadits kedua.
  8. Tidak minta diruqyah (tidak meminta supaya lukanya ditempel dengan besi yang dipanaskan) dan tidak melakukan tathayyur adalah termasuk pengamalan tauhid yang benar.
  9. Sikap tawakkal kepada Allah lah yang mendasari sikap tersebut
  10. Dalamnya ilmu para shahabat. Karena mereka mengetahui orang yang dinyatakan dalam hadits tersebut tidak dapat mencapai derajat dan kedudukan yang demikian kecuali dengan amalan.
  11. Gairah dan semangat para sahabat untuk berlomba-lomba mengerjakan amal kebaikan.
  12. Golongan yang masuk surga tanpa hisab dan adzab adalah yang tidak minta diruqyah, dikay dan tidak melakukan tathayyur serta bertawakkal kepada Rabb dengan sempurna.
  13. Sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam : "Kamu termasuk golongan mereka," adalah salah satu tanda kenabian beliau.
  14. Keutamaan 'Ukasyah
  15. Penggunaan kata sindiran: "Kamu sudah kedahuluan 'Ukasyah." Tidak berkata: "Kamu tidak pantas untuk dimasukkan ke golongan mereka."
  16. Keelokkan budi pekerti Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam.

Dipetik dari: Fathul Majid Syarh Kitabut Tauhid (hal 54-62) karya Syaikh Abdir Rohman bin Hasan Alu Syaikh.

Ke Mana Pergi Subsidi Kami

22 Jul 2010
Dr. Maza

Hidupkan Sunnah

Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi

17 Sept 2010
Dr. Maza
Mendengar cerita seorang anak yang hidup melarat dalam kemiskinan, tentulah menyanyatkan hati. Lebih menyanyatkan hati jika kita ketahui bapanya masih hidup dan kaya raya pulak.

Demikian mendengar dan menonton kisah-kisah kemiskinan dan derita kehidupan akibat kefakiran di negara kita yang disifat kaya dan senang amat menyanyatkan hati. Lebih menyanyatkan apabila kita mengetahui adanya pihak-pihak yang menguruskan zakat dengan mengumumkan lebihan zakat puluhan bahkan ada yang sampai ratusan juta saban tahun.


Sebelum saya meneruskan pena ini, saya terlebih dahulu ingin mengakui banyak hasil kerja dan usaha baik yang telah pun dibuat oleh pihak-pihak yang menguruskan zakat. Juga tulisan tidak ditujukan kepada pihak-pihak yang telah pun melaksanakan amanah mereka. Sebaliknya tulisan mewakili hati dan perasaan kehairanan sebahagian besar kaum muslimin yang tertanya-tanya terutama apabila melihat kisah-kisah duka kemiskinan yang dipaparkan oleh berbagai media.
Ke mana perginya zakat dan pengurusan?! Mengapakah masih ada lebihan zakat, sedangkan lebihan fakir miskin terus wujud?! Zakat tidak mengapa berlebihan jika semua asnaf sudah habis diberikan. Namun amat dukacita jika ramai yang menadah simpati dan tidak diberi, sedangkan zakat masih berbaki. Bahkan kadang-kala saya merasakan seakan program-program derita kemiskinan yang dipaparkan oleh sesetengah media adalah pukulan yang amat perit terhadap institusi zakat kita. Malulah kita hendak dibandingkan badan-badan kebajikan bukan Islam.
Walaupun mereka tidak berkempen sakan untuk mengutip wang, tetapi selalu kita mendengar berita mereka memberi. Sedangkan kefarduan zakat yang ditetapkan oleh ALLAH mempunyai falsafah dan objektif yang amat hebat terhadap pembentukan masyarakat muslim. Nampaknya kita telah berjaya mengumpul, namun belum cukup berjaya membahagikannya.
Saya pernah bertanya hal ini, ada yang menjawab; mana kita tahu, mereka tidak dapat meminta. Sebenarnya, tidak sepatutnya pengurusan zakat terlalu banyak bergantung kepada borang pemohonan. Usaha mencari adalah lebih utama.
Ini kerana kebanyakan ‘mak cik-mak cik’ yang telah tua itu amatlah beban bagi mereka untuk mengisi borang. Bahkan dalam Islam, orang miskin yang tidak meminta itu lebih afdal untuk diutamakan.
Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 273:
(maksudnya): “(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta Yang halal maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.
Orang miskin dikenali dengan ciri-cirinya, sekalipun tidak meminta. Demikian penjelasan ayat ini. Malanglah bagi pengurusan zakat, jika stesyen televisyen dapat menemui mereka yang miskin melarat lagi menderita, tetapi yang diamanahkan untuk menguruskan zakat tidak berjumpa. Islam tidak suka budaya meminta. Ia suka budaya mencari untuk memberi. Menubuhkan badan penyiasat kemiskinan sebahagian dari tanggungjawab pengurusan zakat.
Juga adalah mendukacitakan, jika wang zakat ini diberikan sekadar seratus atau dua ratus yang hanya cukup untuk setengah bulan atau sebulan. Kemudian terpaksalah si miskin menunggu tahun hadapan pula. Lebih malang lagi jika mereka terpaksa menunggu majlis yang dihadiri wartawan untuk mengambil hak zakat mereka. Sepatutnya zakat diberikan dengan kadar yang mengeluarkan si miskin dari daerah kemiskinan.
Dengarlah kata-kata Saidina ‘Umar r.a.: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah) Maka Saidina dalam kepimpinannya berusaha mengeluarkan mereka yang fakir dari daerah kefakiran dengan menggunakan harta zakat. Bukan sekadar memberi mereka beberapa suap makanan atau beberapa dirham wang. (lihat: Al-Qaradawi, Fiqh al-Zakat, 2/568, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Ramai muda-mudi yang tidak mampu berkahwin disebabkan faktor kewangan. Bukan tidak mampu menyara isteri, tetapi kos perkahwinannya. Mereka berhak mendapat zakat di bawah peruntukan kemiskinan. Ini kerana perkahwinan adalah sebahagian dari keperluan insan dalam hidup.
Justeru itu pada zaman ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz beliau memerintahkan agar diiklankan setiap hari:
“Sesiapa di kalangan orang yang miskin, yang berhutang dan yang ingin berkahwin sila dapatkan peruntukan dari Baitul Mal” (ibid, 2/569).
Jika hal ini dilakukan dengan baik, tentulah banyak gejala sosial dapat diatasi dan barangkali zakat pun tidak berbaki lagi.
Antara perkara yang mendukacita juga tentang zakat kita ialah, fokus pemberian zakat kepada para pelajar yang tidak berkemampuan banyak tertumpu kepada bidang agama. Sedikit pula perhatian atau jumlah zakat yang dikeluarkan kepada para penuntut ilmu yang bukan pengkhususan agama. Bidang-bidang perubatan, persenjataan, ekonomi dan seumpamanya kurang diberikan perhatian.
Ini berlaku atas beberapa sebab. Antaranya; sempitnya konsep ilmu dan kefahaman tentang keperluan umat di zaman ini. Pada hal bidang-bidang itu adalah kritikal dan antara penentu kepada survival umat. Mungkin juga ada yang menganggap, mereka itu telah mendapat bantuan. Sebenarnya, jumlah umat Islam yang diperlukan untuk sesetengah bidang tersebut amat tinggi.
Sementara kuota bantuan kerajaan adalah terhad. Ramai yang tidak dapat menyambung pelajaran ke bidang-bidang tersebut disebabkan tidak mampu kerana tiada bantuan. Ke mana perginya wang lebihan zakat?! Pelajar-pelajar yang mendapat habuan zakat untuk jadi ustaz sudah ramai. Mungkin kita dah terlebih ‘ustaz’. Tapi kita masih kurang pakar-pakar perubatan dan teknologi yang lain.
Dr Yusuf al-Qaradawi ketika membahaskan tentang peruntukan zakat untuk para penuntut ilmu menyebut:
“Bukanlah ilmu yang dituntut itu hanya terhad kepada ilmu agama semata. Bahkan merangkumi setiap ilmu yang bermanfaat yang kaum muslimin memerlukannya di dunia ini seperti ilmu kesihatan, pengembangan ekonomi dan bangunan, peningkatan kekuatan ketenteraan mengatasi musuh dan seumpamanya. Itu semua fardu kifayah. Ini seperti mana yang diputus oleh para penganalisa hukum. Maka tidak hairan kita dapati para ahli fekah Islam menetapkan mengenai hukum zakat; bahawa ia diberikan kepada penuntut ilmu sepenuh masa, dan diharamkan kepada ahli ibadah sepenuh masa. Ini kerana ibadah dalam Islam tidak memerlukan untuk seseorang meninggal segala urusan sepenuh masa seperti mana ilmu dan pengkhususannya. Demikian juga manfaat ibadah ahli ibadah itu hanya untuk diri seoarang sahaja, sedangkan ilmu penuntut itu untuk dirinya dan seluruh manusia. Bukan setakat itu sahaja, ahli-ahli fekah Islam menyatakan: “Harus untuk mereka yang fakir mengambil zakat untuk membeli buku-buku ilmu yang diperlukan yang semestinya untuk kepentingan agamanya dan dunianya. Kita mendapati pula ahli-ahli fekah mazhab Hanafi membolehkan dipindahkan zakat daripada satu negeri ke negeri yang lain –menyanggahi kaedah biasa- sekiranya pemindahan itu untuk penuntut ilmu yang memerlukan” (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/570).
Jikalau kefahaman kita diluaskan sehingga sebegini, maka banyak peluang akan terbuka kepada anak-anak kaum muslimin meneruskan pengajian dalam berbagai bidang. Tidak ada lagi cerita insan yang tidak mampu ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran. Juga tidak ada lagilah kisah pelajar kita yang tidak mampu membeli buku rujukan dalam bidang-bidang yang tinggi kosnya seperti perubatan, sedangkan zakat kita berlebihan.
Di negara kita ini, dalam masalah muamalah nampaknya –alhamdulillah- kita sudah mula mesra berbagai mazhab. Banyak pandangan agama kita sudah mula terbuka. Kita mesti terus melihat lebih dari satu mazhab dalam masalah fekah selagi mana ia berteraskan dalil-dalil yang diiktiraf oleh Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Apa sahaja pandangan yang boleh menyempitkan fungsi zakat, mestilah dielakkan.
Melainkan ada dalil yang jelas. Dahulu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah mengkritik fahaman kita tentang zakat. Katanya dalam tulisannya Likai Tanjah Muassasah al-Zakah fi al-Tatbiq al-Mu’asir : “Aku masih teringat, beberapa tahun dahulu aku telah melawat negera-negara Asia Tenggara. Antaranya Indonesia dan Malaysia. Di sana antara soalan penting yang berulang kali ditanyakan kepadaku, khas di Malaysia, oleh Canselor Universiti Malaya, para pensyarah dan pelajarnya ialah: “Adakah wajar siasah ekonomi Islam yang tidak mewajibkan zakat kepada peladang-peladang besar yang memiliki ratusan, bahkan ribuan hektar tanaman getah, atau teh, atau kelapa, atau mangga dan lain-lain, dalam masa yang sama mewajibkan zakat ke atas petani-petani kecil yang bertani gandum atau padi dalam kawasan yang kecil? Mungkin mereka juga tidak memiliki tanah pertanian tersebut, sebaliknya hanya menyewa?!!.
Bentuk dan cara soalan ini bukan sekadar khayalan atau rekaan. Bahkan ia menggambarkan keadaan yang berlaku di sana. Keadaan yang digunakan kesempatan tersebut oleh golongan komunis dan seumpamanya untuk memburukkan gambaran dan hakikat zakat mempengaruhi golongan muslim yang berpendidikan…sebab hal ini berlaku ialah kerana majlis-majlis agama Islam mereka terikat dengan mazhab yang diamalkan di sana iaitu mazhab al-Syafi’i r.a. Ia adalah sesempit-sempit mazhab empat dalam mewajibkan zakat tumbuhan dari bumi. Mazhab al-Syafi’i tidak mewajibkan melainkan apa yang menjadi makanan asasi sahaja, dan tidak selain itu. Bukan di sini untuk di bincangkan pandangan tersebut. Aku telah bincangkannya dalam bukuku Fiqh al-Zakah, sila rujuk. Apa yang ingin aku katakan di sini ialah; sesungguhnya pendapat al-Imam al-Syafi’i atau imam-imam yang lain (r.ahum) hanyalah ijtihad. Empunya diberikan pahala, samada salah ataupun betul. Maka menjadi hak kita untuk meninggalkan pendapat tersebut apabila ternyata kepada kita ia lemah dan selainnya lebih kuat” (Al-Qaradawi: Dr Yusuf, Likai Tanjah Muassasah al-Zakah fi al-Tatbiq al-Mu’asir, m.s. 15-16, Beirut : Muassasah al-Risalah 1994).
Pandangan-pandangan yang lebih luas patut dilihat. Antara masalah kita ialah sesetengah pihak terikat terlalu ketat dengan anggapan bahawa zakat sesuatu negeri tidak boleh dipindahkan ke negeri lain. Walaupun pendapat itu mempunyai alasan dari segi nas dan kepentingan setempat, namun ada kelonggarannya. Ada yang kata negeri kami semua dah cukup, sebab itu lebih.
Lagi pun zakat tidak boleh pindah ke negeri lain. Inilah barangkali sebab berlakunya lebihan zakat. Sebenarnya anggapan ini salah.
Para mujtahid Islam (ahli ijtihad) berijmak (sepakat) bahawa zakat boleh dipindahkan ke negeri lain jika ahli negeri zakat tersebut sudah mencukupi atau tidak memerlukan lagi. Lihatlah perbahasan hal ini dalam kitab-kitab fekah. Pemerintah atau pengeluar zakat itu sendiri boleh membawa zakat ke negeri atau tempat yang lain, jika berdasarkan keyakinan adanya keperluan atau kemaslahatan yang patut diutamakan di tempat atau negeri yang lain. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/820). Bahkan pendapat al-Imam al-Bukhari mengharuskan secara mutlak dipindahkan zakat ke negeri lain di atas keumuman dalil Surah al-Taubah ayat 60 yang hanya menyebut asnaf yang layak menerima zakat tanpa dikhususkan tempat. (lihat: Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, 3/357, Beirut: Dar al-Ma’rifah).
Kita sering mendapat maklumat adanya persatuan atau gerakan agama-agama tertentu yang memperuntukkan wang yang banyak bagi menawan orang ramai agar tertarik dengan mereka. Maka timbullah kisah-kisah orang menukar agama kerana termakan budi. Mengapa kita bising dan hairan. Sebenarnya Islam melalui zakat telah lama membuat pemberian ini di bawah peruntukan golongan muallaf. Muallaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak.
Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat tersebut menjinakkan hati mereka kepada Islam. Juga para pemimpin yang lemah iman. Diharapkan dengan pemberian itu menguatkan iman mereka. Juga pemimpin yang kuat iman namun mempunyai saingan dengan kaum kuffar. Dengan pemberian itu diharapkan pesaing mereka akan tertarik kepada Islam. Bahkan untuk golongan bukan Islam yang diharapkan pemberian zakat dapat mengelakkan mereka menyakiti umat Islam dan akan suka kepada agama ini. Dr Yusuf al-Qaradawi mengumpulkan peluasan ini dalam karyanya Fiqh al-Zakah.
Jika hal ini dilihat dengan luas betapa kita dapat menggunakan zakat untuk berbagai aktiviti dakwah agar bukan muslim tertarik kepada Islam. Termasuklah memberikan bantuan kepada mereka yang cuba dipengaruhi agar murtad. Dengan pemberian zakat, boleh kembali menguatkan semangat Islam mereka. Malangnya, bukan sahaja tafsiran kita tidak luas tentang muallaf ini, bahkan saudara baru yang sedia pun tidak dijaga dengan baik oleh wang zakat. Sehingga ada yang keluar semula kerana tidak mendapat perhatian dari masyarakat Islam. Selepas itu kita hairan kenapa ada orang ingin murtad!!. Sepatutnya persatuan-persatuan saudara baru diberikan peruntukan zakat yang banyak agar wajah kita yang tercemar dek kisah ramai yang ingin murtad bertukar menjadi kisah ramainya orang yang ingin menganut Islam.
Banyak perkara jika hendak bincangkan tentang kesan zakat jika ia berfungsi dengan baik. Amanah ALLAH kepada pengurusan zakat dalam ayat 60 Surah al-Taubah itu hendaklah dipandang berat.
Firman ALLAH: (maksudnya) Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Wang zakat bukan milik pihak pengurusan. Sebaliknya amanah yang mesti diserah dengan jaya kepada yang berhak dan berfungsi dengan baik. Janganlah jadikan golongan yang berhak itu bagaikan peminta sedekah yang menagih simpati pengurusan zakat. Janganlah pula kereta para pegawai zakat sudah berulang tukar, sedangkan si miskin masih dengan rumahnya yang hampir roboh, anak yang sakit tidak berubat, yuran pengajian yang tidak mampu dibayar dan segala kesedihan yang lain. Janganlah pula si fakir terpaksa mencari tambang untuk datang ke pejabat zakat, sedang pegawai zakat hanya tersandar di kerusi cantik menunggu peminta datang.
Jika zakat benar-benar berfungsi, tentulah nasib umat tidak sebegini. Namun hanya kepada ALLAH kita mengadu. Umat kehairanan. Mereka kadang kala bertanya: adakah pengurusan zakat hanya bijak mencari, tapi tidak bijak memberi dan membahagi.
Saya tidak tujukan tulisan untuk semua pihak yang menguruskan zakat. Bagi yang telah menepati pengurusan yang baik, hal ini tiada kaitan dengan mereka. Jika yang belum, tulisan patut diberi perhatian. Jangan kita ini dibantah pada Hari Mahsyar. Biarlah ada yang membantah hari ini. Jika kita sudah menepati, al-hamdulillah. Jika belum kita masih berpeluang untuk membaikinya.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...