Tuesday, 3 December 2013

Nak Tahu Tempat Dajjal Dibunuh?


"Brother Muhamad, hari itu kamu ingin tahu kota kecil Lud kan?. Kejap lagi saya akan tunjuk di mana pekan Lud ini", kata Nasir, pemandu pelancung pada saya ketika kami mula meninggalkan Bethlehem.

Coster yang kami naiki mula bergerak. Hari ini, 27 April 09, kami bergerak ke Yafa melalui Tel Aviv. Perjalanan melalui highway besar. Dari Jerusalem ke Yafa lebih kurang 70 km. 

"Kamu tahu, orang di sini suka tinggal di Yafa. Dia bandar cantik tepi pantai. Yafa digelar sebagai "Arus al-Bahr" (pengantin pantai). Orang yang tinggal di sini semua ibarat pengantin kerana cantiknya tempat ini. Ada satu pepatah orang Palestin. Mari tinggal di Yafa, Enjoy di Tel Aviv dan Taubat di Jerusalem" Nasir memulakan celotehnya.

"Kenapa kamu ingin tahu di mana pekan Lud, dan ramai orang dari luar juga bertanyakan tempat ini," tanya Nasir.

"Tempat ini adalah tempat di mana Nabi Isa akan membunuh Dajjal. Ia terdapat di dalam hadith yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi. Anak Maryam (Isa) akan membunuh Dajjal di pintu Lud " Saya menerangkan pada Nasir.

"Saah (ye ke?..)" tanya Nasir dengan kepala sedikit teleng. Nasir memoncongkan sedikit bibir bawahnya sambil menganggukan sedikit kepalanya tanda perkara ini baru didengarnya.

"Hah di sinilah jalan ke kota Lud, cuba kamu lihat di sana, tanah yang subur, itulah perkampungan Lud", Nasir menunjukkan jarinya ke sebelah kanan jalan.

Saya melihat tempat ini. Berbukit dan luas saujana mata memandang. Di dalam hati saya berbisik. "Subhanallah, di sinilah tempat Dajjal di bunuh".

Pada zaman Khalifah al-Walid bin Abdul Malik dari kekhalifahan Umayyah, beliau pernah datang ke kampung Lud ini. Beliau ingin membeli kampung yang ada sejak zaman Nabi Isa ini. Beliau ingin menjadikan perkampungan ini perkampungan orang Islam.

Khalifah tahu bahawa tempat inilah, tempat di mana Dajjal laknatullah dibunuh. Ketika ditawarkan, orang kampung ini tidak mahu menjual tanah di sini. Mereka juga tidak mahu menerima Islam. Oleh kerana penduduk di sini membayar jizyah, khalifah tidak boleh memerangi mereka.

Penasihat Khalifah berkata kepada beliau, kenapa kita tidak bina sahaja perkampungan lain. Kita dudukkan di sana semua orang Islam. Khalifah termenung dan memikirkan cadangan ini. Kemudian, baginda bangun, bersetuju untuk mencari tanah disebelah perkampungan Lud.

Ketika di dalam pencariannya, khalifah bertemu dengan seorang ketua Badui yang telah Islam. Khalifah bertanyakan adakah orang di kawasan ini ingin menjual tanahnya. Ini kerana khalifah akan mewaqafkan kembali untuk dijadikan perkampungan orang Islam. Ketua Badui ini bersetuju memujuk kaumnya untuk membangunkan perkampungan orang Islam di sebelah kampung Lud ini.
Di dalam perbicangan, khalifah telah dihidangkan dengan kopi yang sangat enak. Khalifah bertanya kepada ketua Badui ini,

"Siapakah yang membuat kopi ini?"

"Anak perempuan saya", kata ketua Badui.

"Siapa namanya" tanya khalifah lagi.

"Ramlah". Jawab ketua Badui.

"Baiklah. Kita akan namakan perkampungan baru ini dengan nama Ramlah." Kata Khalifah.

Kota Ramlah dibangunkan dengan indah sekali oleh Khalifah al-Walid bin Abdul Malik. Keindahan kota Ramlah hingga ramai orang berkunjung ke kota ini berbanding kota Lud.

Ketika Salahuddin al-Ayubi datang ke Ramlah, beliau telah membangunkan satu menara di Ramlah. Ia sebagai menara peninjau bagi keselamatan kedua pekan kecil ini. Selepas zaman Salahuddin, kedua-dua kota ini telah Islam sepenuhnya.

Berbicara mengenai kota Lud, kita boleh bayangkan bagaimana, Dajjal dikejar dari Jerusalem, berperang dan kalah. Nabi Isa yang memimpin tentera Islam terus mengasak mereka yang kafir ini hinggalah mereka diibaratkan lenyap seperti larutnya garam di dalam air.

Dengan keadaan yang masih sombong, maka Dajjal dibunuh dipintu masuk perkampungan ini.

Di dalam dunia ini, hanya ada dua orang sahaja yang memakai gelaran al-Masih. Mereka ialah Nabi Isa dan Dajjal. Kenapa keduanya memakai gelaran ini?. Kerana keduanya Allah kurniakan kelebihan yang hebat. Ketika Dajjal keluar, banyak penganiayaan dibuatnya terhadap orang beriman. Orang beriman mula bangun kembali ketika Nabi Isa diturunkan.

Di dalam bahasa Arab ada pepatah,

Iza al-Masih Yaqtulul Masih (apabila al-Masih yang akan membunuh al-Masih) Di dalam konteks bahasa Melayunya, "apabila, buku bertemu ruas." 

Apa gunanya kita mengetahui kisah kampung Lud? Apa kaitan dengan kita sekarang? Paling rendah ialah kehairanan kita, bagaimana Rasullullah boleh tahu di sekitar tempat ini ada satu kampung bernama Lud.

Rasullullah tidak pernah sampai ke sini. Baginda hanya pernah sampai ke al-Aqsa ketika peristiwa Isra dan Mikraj. Ia membuktikan bahawa perkhabaran Rasullulah bukan rekaan baginda. Allah telah menyatakan di dalam al-Quran:-

3: Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. 4: Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (Surah an-Najmi ayat 3-4)


Kita mungkin rasa teruja membaca kisah-kisah sejarah seperti ini. Perkhabaran Rasulullah mengenai sesuatu tempat dan apabila dikaji, wujud sungguh tempat ini. Tapi, banyak lagi perkhabaran Rasullulah mengenai perkara lain yang ramai orang tidak yakin.

Mengenai cara hidup yang dilagangkan, mengenai hukum hakam sesuatu. Ada orang yakin, tak nampak pula kebesarannya akhirnya ia membiarkan perkara itu tidak diamalkan.

Sesungguhnya, ramai orang yang membicarakan mengenai kisah-kisah hari kiamat, tanda-tandanya, tetapi tidak ramai orang yang menyediakan dirinya untuk ke sana. Mereka sentiasa lalai dengan dunia. Sedangkan semakin hari, kubur semakin merindui jasad kita untuk dimamahnya.

Semoga, kita menjadi orang yang sentiasa memperbaiki diri dan semoga Allah yang Maha Pengasih terus membimbing kita.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
12 Mei 09, jam 6.40 petang.
Highway ke Tel Aviv
Yafa ialah bandar lama tepi pantai. Ia sebelah Tel Aviv
Pintu masuk ke kota Lud. Tempat Dajjal akan dibunuh. Jauh tempat ini dari Jerusalem lebih kurang 45 km
Kawasan berbukit yang subur di kota Lud, kota yang berumur 2000 tahun
Ramlah, Kota baru yang dibina oleh Khalifah al-Walid bin Abdul Malik dari kekhalifahan Umayyah.
Tanah subur di Ramlah.

*Sumber  ustazamin.com

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...