12:57 PM MOHD MAHATHIR SUGUA 2 comments
Pada suatu ketika Umar sedang sibuk dengan urusan yang penting. Tiba-tiba datang satu hamba Allah mengadu yang inginkan keadilan. Tetapi Umar mencemeti orang itu di bahagian bahunya. Umar berkata : “Bila aku duduk hendak menerima pengaduan engkau tidak datang tetapi bila aku sibuk dengan urusan penting engkau datang mengganggu aku.”
Tanpa berkata apa-apa orang itu pun meninggalkan Umar. Sejurus kemudian ia dibawa kehadapan Umar sekali lagi. Sambil mengunjurkan cemeti tadi kepadanya Umar berkata : “Pukullah aku sebagai membalas perbuatanku terhadapmu tadi”. Kata orang itu : “Saya mengampuni awak kerana Allah SWT”.
Kekesalan Umar tidak dapat dibayangkan. Dengan cepat dia kembali ke rumahnya lalu mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Dia mengkritik dirinya sendiri : “Wahai Umar, dahulu kedudukanmu rendah tetapi kini telah ditinggikan oleh Allah SWT. Dahulu kamu sesat tetapi kini telah dipimpin oleh Allah SWT dan Dia telah memberi kamu kuasa ke atas hamba-hambaNya. Apabila salah seorang daripada mereka datang untuk mendapat keadilan ia dipukul dan disakiti. Apakah alasan yang hendak kamu berikan di hadapan Allah SWT?” Soalan ini dihadapkan kepada dirinya bukan sekali malah beberapa kali.
Pada suatu malam Umar sedang meronda di suatu tempat di persekitaran kota Madinah dengan hambanya Aslam. Tiba-tiba kelihatan cahaya api tidak jauh dari tempat mereka berada. Dia berkata : “Nun di tengah-tengah padang pasir nampaknya ada khemah, mungkin kepunyaan suatu khalifah yang tidak dapat memasuki kota kerana kegelapan malam. Mari kita uruskan perlindungan mereka”.
Setibanya mereka di tempat perkhemahan itu, yang kelihatan hanyalah seorang perempuan dengan beberapa orang anaknya. Si ibu tadi sedang menjerang secerek air. Sambil memberi salam dia meminta izin untuk mendekatinya.
Umar : Mengapa kanak-kanak ini menangis?
Perempuan : Kerana mereka lapar.
Umar : Apa yang ada di dalam cerek itu?
Perempuan : Hanya air untuk memperdayakan mereka supaya mereka tidur dengan sangkaan bahawa makanan sedang disediakan untuk mereka. Allah SWT akan mengadili pengaduanku terhadap Umar pada hari kiamat nanti kerana membiarkan aku di dalam keadaan begini.
Umar : (Menangis) Semoga Allah SWT mengampuni kamu tetapi bagaimanakah Umar hendak mengetahui tentang penderitaan kamu?
Perempuan : Orang yang menjadi Amir patut tahu akan keadaan setiap rakyatnya.
Umar balik ke kota dan terus ke Baitulmal. Dia mengisikan sebuah karung dengan tepung, buah tamar, minyak dan kain baju. Dia mengeluarkan juga sedikit wang. Apabila karung tadi telah penuh Umar pun berkata kepada Aslam : “Letakkan karung ini ke atas belakangku Aslam”.
Aslam : Tidak, tidak, ya Amirul Mu’minin! Biar saya yang memikulnya.
Umar : Apa! Adakah engkau yang akan memikuli dosaku dihari kiamat kelak? Aku terpaksa memikulinya kerana akulah yang akan dipersoalkan nanti mengenai perempuan ini.
Dengan perasaan serba salah Aslam meletakkan karung itu di atas belakang Umar. Dengan diikuti oleh Aslam dia telah berjalan dengan pantas menuju ke khemah perempuan itu. Dia memasukkan sedikit tepung, buah tamar dan minyak ke dalam cerek tadi lalu mengacaunya. Dia sendiri meniup bara untuk menyalakan api.
Kata Aslam : “Saya melihat asap mengenai janggutnya”.
Sebentar kemudian makanan itu pun siap. Umar sendiri menghidangkan kepada keluarga miskin itu. Selepas kanak-kanak itu kenyang, mereka pun bermainlah dengan gembiranya. Melihat keadaan anak-anaknya, perempuan itu pun berkata : “Semoga Allah SWT memberi ganjaran kepada kamu kerana kebaikan hatimu. Sesungguhnya kamu lebih layak memegang jawatan khalifah daripada Umar”. Umar melipurkan hati perempuan itu dengan berkata : “Apabila kamu datang berjumpa dengan khalifah, kamu akan menjumpai aku di sana”.
Setelah melihat kanak-kanak itu bermain beberapa ketika, Umar pun beredar dari situ. Dalam perjalanan pulang Umar telah bertanya kepada Aslam : “Kamu tahu tak mengapa aku duduk di situ beberapa ketika? Aku ingin melihat mereka bermain-main dan gelak ketawa kerana kesukaan setelah melihat mereka menangis kelaparan”.
Mengikut riwayat, ketika mengerjakan solat subuh, Umar sering membaca Surah Kahf, Ta Ha dan lain-lain surah yang hampir-hampir sama dengan surah-surah itu. Waktu inilah dia kerap menangis sehingga tangisannya jelas kedengaran beberapa saf kebelakang. Pada suatu subuh ketika membaca ayat Surah Yusuf yang bermaksud :
Hanya aku mengadukan kesusahanku dan kedukacitaanku kepada Allah. (Surah Yusuf : Ayat 86)
Dia telah menangis teresak-esak sehingga tidak dapat meneruskan pembacaannya.
Wahai kaum muslimin, Umar diketahui umum merupakan pahlawan Islam yang terkenal kerana gagah beraninya. Namanya saja sudah dapat menggerunkan musuh-musuh Islam. Namun demikian, di hadapan Allah SWT dia menangis ketakutan. Demikianlah kesucian, kemurnian, ketinggian sopan santun dan keikhlasan yang dikehendaki oleh Islam, agama yang kita semua akui sebagai penganutnya.
http://sinar.cikedis.com/ketakwaan-umar
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.