Kisah-kisah ‘Ajaib’ Islam-yang diragui
Kisah 1,
“Pernah suatu ketika, Saidina Umar R.A. cedera dan banyak darah yang keluar. Beliau pengsan lalu ada seorang tabib/doktor yang ingin menyedarkannya. Setelah gagal mencuba, seorang sahabat berkata : Cubalah kau bisikkan pada telinganya, “telah masuk waktu solat”, nescaya dia akan bangun. Ternyata, Saidina Umar terbangun mendengar bisikan tersebut.”
———————————————————————————————————-
Kisah 2,
“Ketika Tariq bin Ziad telah sampai dari pelayarannya bersama pejuang-pejuang Islam ke sebuah pulau, dibakarnya kapal lalu dikatakan kepada mereka : “Kamu semua ada dua pilihan, samada maju ke hadapan berjihad atau mati syahid di medan pertempuran.” Tiada lagi jalan pulang untuk mereka kerana kapal telah dibakar, dan di belakang mereka adalah lautan.”
————————————————————————————————————
Kisah 3,
“Rabiatul Adawiyah tidak mahu berkahwin walaupun yang meminangnya orang yang hebat. Atas alasan, cinta kepada Allah tiada tolok bandingnya dengan cinta manusia.”
————————————————————————————————————
Kisah 4,
“Seorang alim, bersandar di bawah sebuah pohon di tepi sungai. Beliau telah terlihat sebuah epal hanyut dari sungai tersebut. Beliau lalu mengambil dan memakannya untuk menghilangkan rasa lapar. Setelah itu terasa kurang enak di hati lalu berusaha mencari siapa pemilik epal untuk meminta maaf dan mohon dihalalkan. Apabila berjumpa dengan pemilik epal, maaf hanya diberikan jika si alim tersebut bekerja untuknya 10 tahun.
Setelah 10 tahun berlalu, masih lagi ada syarat tambahan. Iaitu terpaksa menikahi anak gadis pemilik epal tersebut. Namun kata si pemilik epal anaknya buta, pekak dan bisu. Kerana ingin mengharapkan maaf dan halal dari pemilik epal, si alim rela untuk dinikahkan. Tetapi Allah telah mengurniakan rahmatNya kepada si alim tersebut, anak gadis itu rupanya tidak buta, pekak mahupun bisu bahkan cantik rupawan. Itulah akibatnya orang yang baik dan alim….”
————————————————————————————————————
Nyata amat menginsafkan. Betapa sahabat amat sensitif dengan waktu solat dan berjihad kerana Allah untuk syahid tanpa ada niat untuk pulang atau berputus asa. Betapa sucinya wanita tidak mahukan cinta lelaki hanya mendambakan cinta Allah. Betapa zuhud dan rendah dirinya seorang alim untuk menjaga makanan yang halal. Yang mendengarnya jadi kagum. Insaf. Teruja. Dan terasa rendah diri.
Tetapi dari manakah sumber cerita ini? Adakah ianya benar-benar terjadi atau bayangan seorang penglipur lara? Bayangan bahawa kehebatan Islam itu begitu dan begini…
Islam itu hebat, unggul, tetapi telah dicemari dengan kisah-kisah yang ‘menumpulkan minda’. ISLAM dipenuhi dengan pelbagai kisah-kisah AJAIB. Tanpa usul periksa, tanpa diselidik latar belakang dan kesahihannya, kisah-kisah itu disebarkan. Islam di’sensasi’kan. Islam di’gempaq’kan. Tanpa ada usaha pembuktian untuk mencari kebenaran fakta dan dalil, manusia hanya percaya…
Kisah 1 : Seseorang yang tidak sedar (unconscious) kerana kehilangan banyak darah dan kekurangan bekalan oxygen untuk tubuh, mampu bangun dengan suatu bisikan. Subhanallah! Menjadi penambah keimanan kepada orang mukmin tetapi bahan tawa dan gurauan para saintis perubatan. Islam itu sempurna, ianya tertegak dengan ilmu dan fakta. Jangan malukan Islam dengan kerendahan ilmu perubatan kita.
Kisah 2 : Seorang panglima perang, yang amanah dan ikhlas, telah membakar kapal atas tujuan untuk ‘membakar’ semangat pejuang-pejuang Islam. Padahal kapal tersebut adalah harta orang- orang Muslim. Justeru membakarnya adalah suatu pembaziran yang besar! Islam itu adil, jangan cacatkan Islam dengan ‘semangat melulu’ dan dusta.
Kisah 3 : “Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku. Nescaya Allah mecintaimu dan mengampunkan dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun Maha Penyayang.” Surah Ali-Imran 3:31
Cintai Allah adalah dengan mengikut apa yang diajar dan dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda amat suci, lebih suci dari seluruh wanita di dunia, lebih suci dari seluruh manusia, namun masih bernikah dan berumahtangga. Salah satu dari sunnah yang mulia. Siapakah yang lebih layak diikuti dan dicontohi? Islam itu fitrah, jangan sempitkan Islam dengan kenyataan yang ‘luar biasa’.
Kisah 4 : Seseorang tidak dimaafkan kerana memakan epal yang hanyut di sungai, yang kalau dibiarkan juga akan rosak. Disuruh bekerja –dibuat perjanjian- namun ditambah lagi hukuman untuk bernikah. Anak gadis yang buta, pekak dan bisu rupanya sempurna dan rupawan. Dimanakah sunnahnya bernikah tanpa melihat pasangan? Islam itu mudah, jangan dipersusahkan dengan kecetekan fikiran kita.
p/s: Tiada penafian pada kisah-kisah ghaib yang sahih, cuma tidak perlu Islam ini dibanggakan dengan cerita-cerita sebegitu. Hendak mengajak pada Islam tidak perlu pada kisah ajaib, cukup dengan ‘fact n figure’ dalil dari quran dan sunnah. Kerana kebanyakan orang yang ‘beriman terkejut’ seperti selepas mendengar cerita bertukar jadi khinzir, jadi anjing dan sebagainya ini tidak lama. Selepas dari melihat tulisan ‘Allah’ di pokok atau sebagainya. Iman seperti ini iman yang tidak kekal. Seperti Bani Israel yang beriman apabila diselamatkan Allah dengan mukjizat-mukjizat Nabi Musa, berasa kagum, namun apabila kembali susah, mereka mempersoalkan kenabian Nabi Musa A.S. Tetapi jika iman dibina atas dasar ilmu dan aqidah yang kuat, ia takkan goyah. Mari bersama mencari Islam yang sebenar. Wallahu’alam…
dr radzi blog
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.