Wednesday, 30 May 2012

Kisah Seorang Lelaki & Cucunya

by


Ada seorang lelaki tua, dia merupakan seorang Muslim Amerika yang tinggal di sebuah tanah pertanian di pergunungan sebelah Timur Kentucky. Dia tinggal bersama dengan seorang cucu lelakinya yang masih kecil. Setiap pagi, lelaki itu akan duduk di meja dapur sambil membaca Al-Quran. Cucu lelakinya sangat ingin menjadi seperti dia dan seringkali meniru perlakuannya.
Pada suatu hari cucunya berkata, “Atuk, cucu selalu baca Al-Quran lama-lama macam atuk. Tapi…masalahnya cucu tak fahampun apa yang cucu baca. Untuk apa kita baca Al-Quran kalau kita tak faham?”
Sang datuk terdiam seketika. Kemudian diapun pergi ke suatu sudut rumah lalu mengambil sebuah raga lama yang sedikit berhabuk dan kotor. Dia menghulurkan raga itu kepada cucunya sambil berkata, “Nah, ambil raga ni, dan pergi isi dengan air dari sungai dan bawa kepada atuk.”
Cucunyapun pergilah ke anak sungai yang berdekatan dengan rumahnya lalu mencedok air dengan raga itu. Tetapi, belumpun sempat dia sampai kepada datuknya, semua air telahpun habis keluar melalui celah-celah lubang pada raga itu.
Sang datuk yang sedari tadi melihat telatah cucunya dari jendela rumah ketawa terkekeh-kekeh lalu berkata, “Cuba lagi, kali ini cucu kena cepat-cepat berlari kepada atuk.”
Cucunya pergi semula ke anak sungai mengambil air dan kemudian cepat-cepat berlari pulang, tetapi lagi-lagi raganya menjadi kosong sebelum sempat dia sampai ke rumah. Sambil termengah-mengah dia berkata kepada datuknya, “Atuk, guna baldi kan lagi senang? Kenapa nak gunakan raga untuk ambil air? Mana boleh, tuk.”
Datuknya berkata, “Ya, atuk tahu, tapi atuk tak mahukan sebaldi air, tapi atuk mahukan seraga air. Cuba lagi!”
Sang cucu menyedari bahawa raga itu tidak mungkin akan dapat menampung air. Namun dia tetap menurut perintah datuknya kerana mahu membuktikan bahawa walau secepat manapun dia berlari ke rumah, dia tetap akan pulang membawa raga yang kosong.
Diapun berpatah balik semula ke anak sungai dan mengisi raga itu dengan air lalu berlari sepantas yang mungkin kepada datuknya. Tetapi perkara yang sama tetap terjadi. Dia pulang membawa raga yang kosong. Dia mencuba lagi untuk beberapa kali hingga akhirnya diapun berputus asa.
Dia lalu berkata sambil menunjukkan raga itu kepada datuknya, “Atuk, tengoklah. Mana boleh bawa air dalam raga ni.”
“Jadi kamu fikir apa yang kamu lakukan itu semuanya sia-sia?” kata datuknya, “cuba cucu lihat raga itu.”
Cucunya membelek-belek raga itu. Dia sedar, raga itu kelihatan berbeza berbanding dengan kali pertama dia melihatnya. Ia kelihatan lebih bersih, baik di dalam mahupun di luarnya. Seolah-olah ia sebuah raga yang baru sahaja dibeli daripada pasar.
“Cucuku, itulah yang terjadi apabila kita membaca Al-Quran. Kita tidak mungkin mampu untuk memahami kesemua isinya, namun apabila kita selalu membacanya, kita akan menjadi lebih baik, di luar, dan juga di dalam. Begitulah kehendak Allah Yang Maha Esa.”

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...