Al-Quran mengandungi petunjuk saintifik
Oleh: DR. SIDEK BABA
Al-Quran terkandung
undang-undang atau petunjuk yang memberi pedoman kepada manusia mengenai
sesuatu yang nyata dan sesuatu yang ghaib. Mukjizat yang disampaikan
oleh Allah kepada manusia menerusi Rasul-Nya terkandung hikmah yang amat
besar untuk direnung dan difikirkan. Konsep ulul albab seperti yang
dianjurkan oleh al-Quran membina jiwa tadabbur iaitu berfikir, mengamati
dan memerhati supaya lahir kecenderungan mengkaji dan menyelidik.
Setiap surah dalam al-Quran
terkandung maksud dan setiap ayat yang mengisinya terkandung makna.
Ayat- ayat Allah ini adalah sesuatu yang hidup dan menghidupkan. Alam
ini dan kehidupan yang diciptakan adalah gambaran ayat-ayat Allah yang
mempunyai makna yang luas. Perjalanan alam dan sumber-sumber alamiah
disebut dalam banyak ayat supaya proses silih gantian, keteraturan dan
ketertiban membimbing manusia berfikir tentang kebesaran suatu kuasa
iaitu Allah s.w.t.
Sungguh indah ciptaan Allah swt
Terciptanya bumi dengan limpahan
rahmah dan nikmat yang banyak adalah gambaran Kekuasaan Yang Maha
Mencipta untuk kesejahteraan manusia dan makhluk-makhluk yang lain.
Al-Quran terkandung kisah-kisah manusia terdahulu dengan ragam kerenah
yang pelbagai untuk menjadi iktibar manusia.
Apa yang berlaku pada Nabi Adam,
perjuangan Nabi Nuh menyebarkan risalah tauhid, Nabi Musa dengan
Firaun, Nabi Lut dengan kaumnya yang ingkar, Nabi Isa yang mengajak
manusia kepada kebenaran tauhid, Nabi Yusof dengan fitnah dan keupayaan
perancangan ekonominya adalah sebahagian gambaran manusia dan kerenah
zamannya.
Ia berlaku pada masa yang lalu,
berulang pada masa kini dan bakal berulang semula pada masa akan datang
sekiranya manusia tidak menjadikannya ibrah atau teladan yang perlu
diikuti.
Al-Quran juga terkandung prinsip
dan ajaran, peringatan dan khabar gembira, pernyataan dan simbol-simbol
dan yang amat penting ialah mengajak manusia berfikir tidak saja dalam
batas alam nyata tetapi juga cuba memahami kewujudan faktor-faktor yang
ghaib. Walaupun al-Quran bukan kitab sains umpamanya tetapi
pedoman-pedoman saintifik amat banyak untuk dijadikan rujukan tentang
bukti kebenaran dan mukjizat yang amat besar ini.
Para remaja tidak harus
memanfaatkan al-Quran dalam batasan tilawah dan hafazan semata-mata.
Memang benar terdapat fadilat dari amalan tersebut tetapi fadilat yang
lebih besar ialah al-Quran terkandung sumber ilmu yang amat bernilai
untuk diteliti dan dikaji supaya darinya terbina pertunjuk yang
mempedoman remaja ke jalan yang benar dan diredai.
Pada hari ini pengajaran agama
terhadap remaja mengambil pendekatan umum dan tradisional hingga
menyebabkan daya fikir remaja tidak berkembang, pemahaman maksud
rohaniah menjadi terbatas, kesan penghayatan semakin menipis dan
akhirnya akhlak Islamiah tidak terlihat dalam menghadapi cabaran semasa
yang banyak mencabar asas logik dan rasional.
Ia menyebabkan sebahagian remaja
tidak merasakan ajaran agama dan pendidikan al-Quran memungkinkan
dirinya atau zaman dewasanya nanti berupaya menghadapi serangan
pemikiran dari luar lingkungan kehidupan beragamanya atau menjadi keliru
dalam menghadapi cabaran ideologi dan fahaman yang berbagai atau
terjebak dalam arus memuja dan mengagumi budaya Barat yang negatif dan
akhirnya menjadi bercelaru dan hilang arah dalam memahami makna hidup
dan kehidupan yang sebenarnya.
Sedangkan al-Quran pada banyak
tempat menyebutkan kepentingan akal dan kepentingan pancaindera untuk
berfikir dan melihat sesuatu yang diciptakan dan terjadi serta
merangsang hati supaya merasakan sesuatu mengenai kebesaran dan
kekuasaannya.
Asas-asas
saintifik amat nyata ditunjukkan oleh Allah menerusi al-Quran supaya
para remaja mendapat pertunjuk-pertunjuk saintifik mengenai kebenaran
pencipta dan perkhabaran tentang sumber ciptaan-Nya.
Meskipun al-Quran diturunkan
kira-kira 1,400 tahun yang lalu kepada Rasulullah s.a.w, seorang yang
ummi iaitu tidak boleh membaca dan menulis atau menghadiri sistem
pendidikan sains seperti hari ini, namun kebenaran mukjizat saintifik
terus dibongkar oleh para saintis Islam berabad-abad lamanya dan
dibongkar oleh saintis zaman kini atau mula mengakui kebenaran mukjizat
al-Quran yang memberikan petunjuk saintifik dan sebahagiannya kembali
kepada ajaran tauhid yang fitrah.
Albert Einstein
Pemenang Hadiah Nobel, Albert Einstein pernah menyebutkan: “Sains tanpa agama adalah palsu dan agama tanpa sains adalah buta.”
Al-Quran bukanlah kitab sains
tetapi terkandung signs atau ayat-ayat yang memberi petunjuk. Mengikut
Dr. Zakir Naik seorang pendakwah terkenal dari India, terdapat lebih
1,000 ayat yang berhubung dengan sains. Petunjuk-petunjuk saintifik
dalam al-Quran terkandung kebenaran dan fakta bukan sekadar hipotesis
atau teori yang masih dalam kajian dan persoalan.
Amat penting bagi remaja
memahami dan menginsafi tentang kebenaran al-Quran mengenai sains supaya
darinya remaja dapat membina kekuatan iman dan keyakinan terhadap
Pencipta dan menerusi jendela Qurani remaja boleh menjadi orang-orang
yang bertakwa terhadap kebenaran dan fakta saintifik yang tidak boleh
diragukan lagi.
Al-Quran 21:30 menyebutkan
dengan jelas tentang kejadian alam semesta. Teori Dentuman Besar atau
Big Bang yang dipercayai oleh para saintis kini menyebabkan berlakunya
pembentukan galaksi. Ia berkembang menjadi bintang, planet, matahari,
bulan dan sebagainya. Al-Quran juga menyebutkan tentang makna dukhan
atau asap atau gas yang menjadi rujukan utama kepada fakta teori
Dentuman Besar (al-Quran 41:11).
Pada zaman awal manusia percaya
bahawa bumi ini rata. Al-Quran 31:29 dan 39:5 menyatakan dengan jelas
tentang bumi ini bulat (spherical). Mereka juga percaya bahawa bulan
bercahaya dan sumbernya sendiri sedangkan al-Quran 25:61; 10:5; 71:15-16
menyebutkan ia adalah pantulan dari cahaya matahari.
Al-Quran 51:47 juga menyebutkan
tentang sifat alam jagat yang mengembang. Konsep musi’un dalam al- Quran
menyatakannya dengan jelas dan ia diakui oleh para saintis seperti
Edwin Hubble sejak tahun 1925 lagi mengenai kebenaran fakta saintifik
al-Quran.
Konsep
atom juga tersebut jelas dalam al-Quran 34:3 dengan rujukan zarah yang
mengaitkan Allah mengetahui yang kecil dan besar malah sekecil zarah.
Gunung-ganang sebagai pasak-pasak bumi (awtad) disebutkan oleh al-Quran
78:6-7 membayangkan pentingkan faktor penstabil bagi bumi bagi
mengelakkan bumi dari bergoncang (al-Quran: 21:13).
Malah kalau diteliti lebih jauh,
al-Quran memberi kita petunjuk tentang ilmu biologi, botani, zoologi,
perubatan, fisiologi, embriologi, psikologi, sains, teknologi dan
lain-lain. Bayangkan kalau para remaja mendekati al-Quran dengan jiwa
tadabbur maka fakta dan kebenaran saintifik yang terkandung dalam
al-Quran bakal membina keimanan dan keyakinan remaja tentang Allah,
kejadian dan kebesaran-Nya.
Dari situlah bermula binaan
akidah yang diterjemahkan dalam asas ibadah yang luas, berdiri atas
faktor syariah yang terkandung maqasid atau maksud dan menghasilkan
peribadi-peribadi yang memiliki akhlak tinggi yang memiliki jiwa rukuk
dan sujud terhadap pencipta.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.