Qarin Jin Pendamping Manusia
Qarin adalah jin yang dicipta oleh
Allah sebagai pendamping atau kembar kepada setiap insan yang dilahirkan
(manusia). Dia dikatakan sebagai “syaitan” kepada manusia itu. Setiap
manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarin nya sendiri.
Rasulullah s.a.w. tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah
adalah muslim. Manakala yang lain-lainnya adalah kafir.
Pada umumnya qarin kafir ini mendorong
“dampingan”nya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan
ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja
sekuat tenaga untuk menghalang manusia dampingannya melakukan ibadah dan
kebaikan.
Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah
utuskan malaikat (Maha Adil Allah). Malaikat ini akan membisikkan
hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah
kepada setiap manusia membuat pilihan.
Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya.
Caranya ialah dengan membaca
“Bismillahir Rahmanir Rahim” (basmalah) sebelum melakukan sebarang
pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran, melakukan kebaikan dan
taat melaksanakan perintah Allah. Secara tidak langsung manusia itu akan
meninggalkan nafsu syahwat dan sifat-sifat tercela. Membersihkan
dirinya bersesuaian dengan martabat malaikat tersebut.
Pernah satu ketika dulu para ‘ustaz”
pendakwah menceritakan bahawa apabila kita makan berserta Bismillah,
syaitan akan kelaparan dan kurus tetapi jika sebaliknya ia semakin
gemuk. Pada awalnya memang mengelirukan dan sukar difahami bagaimana
syaitan itu boleh kurus kerana bukan kita seorang sahaja manusia di muka
bumi ini. Bukan semuanya baca basmalah bila hendak makan dan minum.
Setelah dibangkitkan soal qarin ini baharulah kita faham kedudukan
sebenarnya. Syaitan yang dimaksudkan ialah jin qarin ini (sifatnya
berlawanan dengan sifat malaikat – sebab itu disebut syaitan) dan ia
khusus untuk setiap individu.
Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas’ud r.a. maksudnya: “Setiap
kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa
malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah.” Sabdanya: “Ya
aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat
kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Riwayat
Ahmad dan Muslim)
Kewujudan qarin ialah untuk menggoda
manusia, menampakkan hal-hal yang buruk dan hal-hal yang jahat-jahat
seolah-olah baik pada anggapan manusia, lalu akhirnya manusia
terpengaruh atau terpesong.
Dalam surah al-An’am: 112 terdapat
firman Allah: “Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh
dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan
kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu”.
Ath-Thabarani mengisahkan riwayat dari
Syuraik bin Thariq. Ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam
bersabda, yang ertinya: “Tidak ada seseorang di antara kalian melainkan
ada baginya seorang syaitan.” Mereka bertanya, “Juga bagimu, ya
Rasulullah?” “Ya, juga bagiku, tetapi Allah melindungiku sehingga aku
selamat .”(HR. Ibnu Hibban)
Jin ini, menurut para alim ulama’,
bukanlah dari kalangan jin yang biasa. Jin ini tugasnya hanya untuk
menyesatkan ‘tuan’nya, yang didampingi dari awal kelahiran hingga
kematian manusia tersebut. Ada juga qaul yang menyatakan bahawa jin ini
dilahirkan bersama-sama kita, akan tetapi ianya tidak mati apabila kita
meninggal dunia kerana hayat mereka dipanjangkan Allah, dan mereka hanya
dimatikan menjelang hari Qiamat.
Ketika manusia mati sama ada dalam
keadaan beriman kepada Allah atau mati dalam keadaan murtad, syirik atau
kufur hasil daripada tipu helah iblis dan syaitan yang sentiasa berada
di samping manusia, menemani manusia ke mana dia pergi, ataupun mati
dalam Islam tetapi bergelumang dalam maksiat.
Qarin akan berpisah dengan “kembar”nya
apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam
barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah
panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka
kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili.
Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.
Gambar dari : Alamjin-tuankelarias dot blogspot dot com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.